TAMBANG BAS TAK NAIK MAISIMUMKadar tambang ambil kira kemampuan pengguna, kesesuaianKOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS)
memberi jaminan kadar tambang bas mini dan berhenti-henti di bandar
raya ini tidak akan dinaikkan sehingga tahap maksimum seperti
ditetapkan dalam kadar diumumkan kerajaan minggu lalu.
Presidennya, Lokman Sunggim, berkata pihaknya akan berbincang
dengan pengusaha bagi menentukan kadar tambang baru ke semua destinasi
dengan mengambil kira kemampuan pengguna dan kesesuaian tambang
berdasarkan lokasi serta persaingan dengan syarikat pengusaha bas lain.
Katanya, perbincangan itu perlu untuk memastikan kadar baru setiap
destinasi diseragamkan pengusaha sebelum dilaksanakan mulai 1 Ogos ini
bagi mengelak perbezaan tambang antara pengusaha.
"Oleh kerana kerajaan sudah meluluskan kenaikan tambang
perkhidmatan bas mini dan berhenti-henti, maka mulai 1 Ogos ini
pengusaha di bandar raya ini akan mengenakan kadar tambang baru
berdasarkan persetujuan semua pengusaha.
"Walaupun ada kenaikan, saya memberi jaminan kadarnya tidak
mencapai tahap maksimum. Kenaikannya mungkin hanya membabitkan
perbezaan antara 10 sen, 20 sen, 50 sen dan RM1 mengikut kesesuaian
destinasi," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenaikan tambang perkhidmatan
bas mini dan berhenti-henti di bandar raya ini berikutan langkah
kerajaan meluluskan kenaikan tambang pengangkutan awam di seluruh
negara yang dilaksanakan mulai 1 Ogos ini.
Berdasarkan kadar baru itu, kerajaan menetapkan tambang bas
mini di negeri ini sebanyak 18 sen setiap kilometer bagi tanpa hawa
dingin dan 20 sen setiap kilometer bagi yang berhawa dingin dengan
kenaikan masing-masing dua sen dan tiga sen.
Bagi bas berhenti-henti tanpa hawa dingin, kadar baru yang
ditetapkan ialah 65 sen bagi dua kilometer pertama dan 9.4 sen bagi
setiap kilometer berikutnya, manakala bas berhawa dingin, kadar baru
ditetapkan ialah 78 sen untuk dua kilometer pertama dan 10.4 sen bagi
setiap kilometer berikutnya.
Berdasarkan kenaikan itu, Lokman berkata, kadar tambang baru
bagi destinasi seperti Likas dan Sepanggar dijangka mengalami kenaikan
masing-masing 10 sen atau 20 sen dan antara 50 sen hingga RM1.
_________________

