SUNGAI BULOH: Pengalaman menyaksikan sendiri serpihan daging dan tulang
rakyat Palestin yang terlekat di dinding bangunan akibat dibom tentera
rejim Zionis menjadi detik paling sukar dilupakan jurufoto The New
Straits Times Press (NSTP) Berhad, Tun Izhar Tun Ishak yang
berkesempatan membuat liputan secara dekat untuk melihat penderitaan
rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini.
“Mulanya ngeri juga
melihat daging dan tulang yang sengaja tidak dicuci penduduk tempatan.
Bagaimanapun, perasaan saya bertukar daripada ngeri menjadi terharu
sebaik melihat dari dekat mayat terbabit.
“Ajaibnya, tulang yang
terlekat itu langsung tidak berbau busuk, malah mengeluarkan bau wangi.
Mungkin mereka ini termasuk golongan syahid yang dijanjikan syurga.
“Selain
itu, satu lagi pengalaman tidak dilupakan apabila terlihat kesan comot
seolah-olah palitan coklat pada muka seorang kanak-kanak berusia 7
tahun yang sebenarnya terkena bedilan senjata berisi fosforus,” katanya
ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pameran Foto Gaza di Restoran
Jejantas Sungai Buloh di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO) NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Pengurus
Besar Plus Expressway Berhad, Noorizah Abd Hamid.
Menceritakan
pengalamannya sepanjang berada di bumi Gaza, Tun Izhar berkata,
perasaannya bercampur-baur antara takut, sedih dan bersemangat ketika
menjejakkan kaki di tempat itu.
“Memang takut dan berdebar
ketika sampai di tanah Gaza tetapi saya kuatkan semangat serta tidak
putus-putus berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan untuk
menggalas tugasan yang diterima,” katanya.
Menurutnya, pengalaman sekali seumur hidup sepanjang berada di zon perang tidak mungkin dilupakannya hingga akhir hayat.
“Saya
bersyukur kerana sempat merakam pelbagai gambar sepanjang berada di
sana melalui lensa kamera yang menjadi medium untuk saya berkongsi
pengalaman dengan masyarakat negara ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyaksikan pameran berkenaan boleh berkunjung ke Restoran Jejantas Sungai Buloh sebelum 23 Mac depan.