Hamilton terpantas lagi
LONDON - Pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1) dunia, Lewis Hamilton meninggalkan pencabarnya sekali lagi apabila mencatat masa terpantas pada sesi ujian di Litar Hockenheim, semalam seminggu sebelum beraksi pada Grand Prix (GP) Jerman di litar yang sama.
Pemandu McLaren itu mencatat pusingan terpantas 1 minit 14.872 saat, mengatasi pemandu Williams, Nico Rosberg dari Jerman dengan 1:15.257s.
Peyandang juara dunia, Kimi Raikkonen dari Ferrari pula mencatat masa ketiga terpantas dengan 1:15.296s.
Hamilton, 23, yang kini terikat dengan 48 mata bersama dua pemandu Ferrari, Felipe Massa dan Raikkonen di tangga teratas pemandu keseluruhan terbaik turut mencatat masa terpantas ketika ujian dimulakan, Selasa lalu.
"Saya menjangkakan kejuaraan dunia bakal ditentukan dalam perlumbaan terakhir, sama seperti tahun lalu. Apa pun, kita lihat saja,'' kata Hamilton.
Tahun lalu, pemandu Britain itu terlepas kejuaraan dunia hanya dengan satu mata di belakang Raikkonen, malah terikat kedudukan bersama rakan sepasukannya ketika itu, juara dunia dua kali, Fernando Alonso.
Dalam sesi ujian semalam, Raikkonen melengkapkan 90 pusingan di bawah cuaca mendung di sebelah pagi tetapi kembali cerah pada sebelah petang.
Menurut pemandu Finland itu, dia berpuas hati dengan hasil ujian selepas dua hari dan percaya, Ferrari akan kembali ke Jerman minggu depan dengan prestasi yang lebih kompetitif.
"Saya rasa kami sangat pantas di trek ini. Kami mempunyai kelebihan daripada segi kepantasan itu, tetapi kadang kala tidak dapat meletakkan semua elemen pada masa yang tepat,'' katanya.
Litar Hockenheim kembali ke dalam jadual penganjuran GP Jerman selepas setahun disisihkan selepas terpaksa memberi laluan kepada Litar Nuerburgring.
- Reuters