Sebagai seorang doktor yang
tugasnya menyelamatkan nyawa manusia,tentulah saya merasa bangga dengan
profesion saya ini. Sememangnya inilah cita-cita sebenar saya selama
ini. Etika dan sikap profesionalisme sering saya amalkan. Apatah lagi
saya juga seorang pensyarah di Pusat Pengajian Perubatan di salah
sebuah universiti terkemuka. Saya sering menanamkan dan menekankan
aspek insaniah dalam diri bakal-bakal doctor yang merupakan pelajar
saya.
Suatu hari yang ditakdirkan Allah, saya di ajar tentang suatu nilai yang saya terlupa oleh seorang mat rempit.
Saya
menoleh jam loceng saya. "Ah….baru 3 am dan saya baru terlena hanya 2
jam sahaja." Tapi,apakan daya kerana tugas,saya terus mencuci muka dan
terus menggapai kunci kereta saya. Inilah rutin seorang doltor yang
kita kenali sebagai `on call`.
Setelah memecut kenderaan
saya,akhirnya saya tiba di bilik kecemasan. Ada satu kes kemalangan.
Seorang penunggang cedera parah dan pemboncengnya meninggal dunia di
tempat kejadian.
"Tolong doktor..Tolong selamatkan kawan saya,"
rayu seorang lelaki muda berseluar jean yang koyak dibahagian lututnya.
Inilah trend pakaian mat rempit. Setelah 4 jam dibilik
pembedahan,mangsa berjaya diselamatkan dan kaki kanannya terpaksa
dipotong. Entah mengapa hari itu,terlintas bisikan syaitan dalam hati
saya yang menyatakan`you deserve to get it`. Astaghfirualallahal azim,
sebagai seorang doktor,saya tidak harus meletakkan prejudis saya
sebagai prioriti dalam merawat pesakit. Melihat pesakit saya dari sudut
siapa dia sebenarnya adalah salah. Hal ini kerana, dalam merawat dan
meyelamatkan pesakit,nyawa setiap manusia begitu bernilai walaupun pada
pandangan kita atau sesiapa,dia bukanlah apa-apa.
Keesokan
harinya,saya pulang dari hospital agak lewat malam. Kepenatan
benar-benar menyebabkan saya tidak sabar untuk tiba di rumah.
"Ah….lampu
merah pula!!" Maka saya terus menekan pedal brek dan menunggu giliran
sambil mata saya tertumpu pada suatu peristiwa yang menarik. Saya
melihat seorang lelaki yang koyak jeannya dilutut menunggang dengan
laju melanggar lampu merah tanpa rasa bersalah. Dalam hati saya
berdetik "sah mat rempit lagi. Tak ada kerja lain ke selain menyusahkan
orang lain." Tiba-tiba saya melihat pemuda itu berhenti,menongkat
motornya dan berjalan kedepan.
Saya benar-benar malu pada diri
saya sendiri melihat pemuda itu mengambil bangkai kucing yang saya kira
baru saja dilanggar petang tadi,mengalihkannya ke tepi jalan agar tidak
dipijak hina oleh kenderaan lain.
"Allahuakbar."
Saya
benar-benar tersedak dengan bisikan hati kecil sendiri. Saya rasakan
diri ini sangant mulia apabila menyelamatkan nyawa manusia,tapi tidak
terlintas dan tidak sanggup membela bangkai binatang itu padahal ia
juga suatu nyawa yang harus dihargai dan dimuliakan. Sedangkan dia
seorang mat rempit yang mungkin tidak menghargai nyawanya sendiri boleh
meletakkan nilai harga nyawa seekor binatang pada aras yang tinggi.
Sesungguhnya Tuhan sedang mengajar saya sesuatu.
Sesungguhnya
saya telah belajar sesuatu dari seorang mat rempit. Kemuliaan seseorang
itu bukan terletak pada berapa besar dan tingginya jasa dan sumbangan
pada sesuatu tetapi dinilai dari berapa besar seseorang itu mengerti
makna kewujudan sesuatu dan menghargai.
Ini bukan kisah yang
memberi pengajaran bahawa kita juga boleh menjadi mulia walaupun
seorang mat rempit,lantas menanam cita-cita untuk menjadi kaki rempit.
Namun cerita ini membawa pengajaran bahawa kita tidak boleh terlalu
berbangga dengan diri sendiri dan membiarkan prejudis membezakan diri
kita dengan golongan lain. Sikap prejudis akan mengurangkan etika dan
meruntuhkan sikap profesinalisme yang ada dalam diri kita..