Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my
KOTA BHARU – Ketepikan naluri cinta demi cita-cita.
Bagi sesetengah remaja, zaman persekolahan mungkin lebih indah sekiranya disulami perasaan disayangi dan menyayangi malah. Malah ada di antara mereka berbangga jika memiliki ‘buah hati’.
Lain pula bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya memperoleh keputusan 20A, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal (gambar), 18, yang menganggap cinta remaja itu boleh merosakkannya.
Menurutnya, cinta remaja tidak mendatangkan manfaat kerana ia hanya melalaikan dan menjejaskan tumpuan terhadap tugas utama iaitu mencari ilmu
“Saya ada impian dan cita-cita lain untuk disempurnakan sebelum bercinta. Zaman persekolahan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari ilmu dan peluang tersebut tidak seharusnya dilepaskan hanya kerana cinta.
“Bagi saya, bercinta tanpa mengikut syariat Islam itu haram dan itu juga yang diajar oleh cikgu-cikgu saya di sekolah,” katanya yang mengakui tidak pernah bercinta dan tidak berminat untuk bercinta buat masa ini.
Tambahnya, para pelajar perlu menyedari bahawa cinta ialah ‘musuh’ utama kerana ia boleh mengganggu emosi sehingga menyebabkan mereka hilang fokus dalam belajar.