Adam ditembak komunis ketika pertahan negaraKUALA PILAH 27 Mei - Peristiwa lapan anggota 'jungle squad' yang ditembak mati oleh pengganas komunis di Sungkai, Perak sekitar tahun 50-an masih segar dalam ingatan Lans Koperal Adam Yaacob (gambar).
''Saya tidak akan melupakan sejarah hitam itu ketika kami dari pasukan Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu dikerah menyertai operasi menyelamat tetapi mereka terlebih dahulu diganyang pengganas komunis.
''Pengganas komunis adalah manusia yang kejam. Tiada hati perut dan apa yang mereka tahu ialah menguasai dengan kekerasan," kata Adam yang kini berusia 76 tahun di sini hari ini.
Adam merupakan penerima Military Medal (MM) daripada Pesuruhjaya Tinggi British Tanah Melayu, Sir Donald MacGilivray di King House, Kuala Lumpur pada tahun 1956 di atas jasa membunuh pengganas komunis dengan menggunakan bayonet.
Sambil memperlihatkan riak wajah yang garang, Adam memulakan kisah perjuangannya untuk mempertahankan Tanah Melayu ketika itu dengan menunjukkan aksi cara dia menumbangkan dua pengganas komunis dengan menggunakan senjatanya.
''Saya benamkan bayonet di belakang salah seorang pengganas komunis sehingga mati dan menikam seorang lagi di paha.
''Pengganas yang saya tikam pada paha itu cuba melarikan diri, saya terus kejar dan membenam bayonet juga di belakangnya berkali-kali. Ketika itulah saya terkena satu tembakan mengenai betis daripada pengganas berkenaan," katanya.
Sebab itulah, katanya, amat malang sekali apabila pada hari ini ada pula orang yang cuba membawa pulang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
''Tiada gunanya membawa masuk penderhaka ke dalam negara ini. Kita tidak bertuankan Chin Peng. Dia musuh kami. PKM telah menyusahkan penduduk Malaya," ujar beliau.
Kata Adam, dia masih ingat ketika memburu Chin Peng dalam hutan di Sungkai dan setiap kali dia bertembung, pemimpin komunis itu pantas melarikan diri.
''Memang kalau saya jumpa dia dan dapat mengejar Chin Peng waktu itu, saya akan menembaknya. Dia cekap melarikan diri," ujarnya.
Adam berkata, Chin Peng mahu menuntut haknya ke atas Tanah Melayu dan mujurlah Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengizinkannya.
Jika tidak, katanya, sudah tentu ada Parti Komunis di negara ini.
''Dia telah mengganggu kestabilan negara. Saya adalah orang yang akan menentang kemasukan Chin Peng ke negara ini kerana saya merupakan 'pemburu' Chin Peng waktu itu," jelas beliau.
Klu sya dia ni patut di hukum Gantung sdh bah sbb 'penganas'.