Dua tugas besar tunggu SathiaOleh Hamdan Saaid dan Mohd Fadzrie Hazis
SEMANGAT MERDEKA: Sudah lama tidak kelihatan ribuan
penonton berada di belakang skuad kebangsaan tetapi
Sathianathan dan pasukan bimbingannya mampu menarik
tidak kurang 40,000 penonton ke Stadium Shah Alam
untuk menyaksikan final Pestabola Merdeka,
malam kelmarin.Kelayakan Piala Dunia bulan depan, buruan emas Sukan Sea Disember ini jadi taruhanTIDAK dinafikan ada di kalangan pengkritik pasti mempertikaikan gemilang ciptaan skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan, tetapi hakikatnya barisan pimpinan B Sathianathan tetap mampu bertindak sebagai pemangkin dalam usaha menjernihkan kembali maruah bola sepak negara yang tercalar sekian lama.
Kejayaan menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas 14 tahun kempunan di Stadium Shah Alam, malam kelmarin seharusnya mampu mencetus kembali minat dan sifat sayangi skuad negara – pasukan yang mewakili negara kita dan seharusnya dibanggakan.
Keupayaan menjinakkan juara bertahan, Myanmar, 3-1 pada saingan final tidak harus dilihat dari segi negatif kerana sekalipun kejohanan itu bukan berstatus ‘kelas pertama’ lagi lantaran pasukan yang hadir tidak menampilkan skuad utama mereka, corak persembahan di atas padang menjadi perkiraan.
Hanya Myanmar, yang menundukkan Indonesia 2-1 di gelanggang sama tahun lalu, dan Laos hadir dengan skuad utama manakala negara lain Singapura (barisan B-23), Indonesia (B-23), Zimbabwe (ketiga), Lesotho (kedua) dan Bangladesh (kedua).
Hakikatnya, saingan kali ini hampir setara dengan skuad B-23 negara membuktikan keunggulan mengetepikan rakan seangkatan mereka dari Seberang Tambak, yang tampil dengan 12 pemain yang menjuarai Kejohanan Bola Sepak Asean awal tahun ini.
Ringkasnya, anak buah Sathianathan melakukan segala percakapan di atas gelanggang, awalnya di Stadium Petaling Jaya dan akhirnya bergembira di Stadium Shah Alam.
Persembahan mereka, sekalipun Sathia awalnya beralasan pemainnya keletihan selepas pulang daripada misi latihan dan persahabatan di Slovakia, seharusnya membuka mata banyak pihak bahawa Malaysia bukan ketandusan pemain.
Kejayaan skuad B-23, B-20 (naib juara Asean), B-19 (Piala Juara-Juara Belia) dan B-15 (naib juara kejohanan jemputan di Arsenal) bukannya sesuatu yang datang bergolek tetapi ia membuktikan masih ada sesuatu yang betul diusahakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di peringkat akar umbi.
Lantaran kejutan pelantikan Sathia sebagai jurulatih skuad kebangsaan menggantikan Norizan Bakar yang tidak disambung kontraknya berikutan kegagalan memalukan pada pusingan akhir Piala Asia bulan lalu seharusnya dilihat dari sudut positif.
Dengan skuad sedia ada (skuad Pestabola yang menampilkan tiga pemain senior Shukor Adan, Norhafiz Zamani Misbah dan V Thirumurugan), Sathia seharusnya berkeyakinan dengan skuad bimbingannya itu dan terus memperkasakan mereka dengan sedikit rombakan kecil sahaja.
Kempen Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain Oktober ini mampu menguji kewibawaannya selain temasya Sukan Sea Korat Disember depan.
Sathia juga meyakinkan peminat betapa Malaysia kini mempunyai dua penyerang paling secocok, Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak, yang berganding hebat sepanjang Pestabola dengan kedua-duanya menyumbang sejumlah tujuh gol.
“Inilah kunci kejayaan mereka. Semangat juang yang tinggi dengan keinginan kuat untuk mencatat kemenangan kerana dalam bola sepak serta bidang sukan lain, tiada siapa yang mahu kalah dan semua mahu menjadi nombor satu.
“Sejak awal lagi saya penuh yakin dengan keupayaan skuad ini untuk membuktikan sesuatu. Namun sekalipun pertarungan kami di sini berakhir dengan kejayaan, perjuangan sebenar masih belum bermula,” kata Sathia, yang sudah lebih 14 tahun berkhidmat dengan FAM, kebanyakan masanya dihabiskan sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan.