[url=mailto://][/url]
Pengurus minta bayaran untuk rakam majlis pernikahan
TERKEJUT juga Raja apabila diberitahu penyanyi terkenal, Ning Baizura meminta bayaran daripada sebuah stesen TV swasta yang mahu merakam dan menyiarkan persiapan dan majlis pernikahannya. Khabarnya stesen TV itu berhasrat merakam episod istimewa dari persiapan hinggalah majlis pernikahan serta persandingan Ning bersama pasangannya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton pada 31 Januari ini.
Majlis pernikahan Ning dijangka berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, Kuala Lumpur. Seorang teman memberitahu Raja, orang kuat stesen TV berkenaan terkilan dan berang apabila pengurus Ning, Vernon Kedit menanyakan berapakah bayaran yang ditawarkan.
“Hai, apa lagi... mengamuklah orang kuat stesen TV berkenaan. Daripada dulu sampai sekarang stesen TV berkenaan tidak pernah berkira dengan Ning, malah banyak membantu menaikkan kerjaya Ning. Tiba masa hari bahagianya, adakah patut minta bayaran. Khabarnya, stesen TV itu mahu siarkan episod istimewa daripada persiapan hinggalah majlis pernikahan dan persandingan Ning,” katanya.
Khabar terbaru diterima, pengurus Ning, Vernon sudah menghubungi orang kuat stesen TV berkenaan. Pihak Ning fikir stesen TV itu mahu dapatkan hak eksklusif mengenai hari bersejarah Ning dan kerana itulah mereka minta bayaran. Gitulah pula! Kalaupun stesen TV berkenaan minta buat rakaman secara eksklusif, takkan perlu dikenakan bayaran. Mereka kena fikir stesen TV itu bukan calang-calang stesen TV. Tidakkah ia satu bonus jika mereka mahu buat liputan rakaman hari perkahwinan Ning kerana ia bakal ditonton jutaan peminat. Ning juga bertuah.
Artis popular lain kahwin tak pula mereka buat rakaman secara eksklusif tapi Ning antara yang terpilih. Jadi bila berlaku perkara begini, tentunya orang kuat stesen TV berkenaan tersentak. Bagaimanapun, khabar terbaru yang Raja dengar, semuanya sudah selesai.