LAZIMNYA pada musim cuti, ibu bapa akan mengurangkan peraturan makan anak-anak. Dalam keadaan begini, tentulah lebih sukar untuk menjaga kesihatan mereka!
Adalah penting bagi ibu bapa memantau tabiat makan anak-anak dan tahap kesihatan mereka sepanjang tahun, lebih-lebih lagi pada cuti sekolah hujung minggu atau cuti penggal. Sempena tahun baru ini, PAG menawarkan tiga petua berguna untuk membantu ibu bapa menjaga kesihatan anak-anak mereka menerusi pemakanan.
Tabiat makan
Pilihan makanan dan tabiat makan selalunya berubah. Sebagai contoh, semasa cuti sekolah anda tidak perlu menyekat anak-anak daripada menikmati makanan kegemaran mereka. Sebaliknya, cuba buat sedikit perubahan seperti mengurangkan saiz sajian dan menghidangkan makanan dalam pinggan lebih kecil untuk mengelakkan anak-anak terlebih makan.
Menurut tinjauan kaji selidik dalam talian PAG baru-baru ini, kira-kira 72 peratus ibu bapa memberitahu mereka memberi anak-anak mereka kurang daripada tiga hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari, tetapi menambah sedikit perasa dan tekstur baru seperti jagung yang disapu mentega, brokoli atau keledek manis ke dalam sajian makanan untuk membantu menjadikan makanan mereka lebih seimbang dan berkhasiat.
Menonton TV
Terlalu banyak menonton TV dan filem, serta bermain permainan video biasanya berlaku pada musim cuti.
Bagaimanapun, jangan melarang anak-anak daripada menonton TV sama sekali. Sebaliknya, PAG mencadangkan supaya anda membuat jadual yang munasabah.
Sebagai contoh, tetapkan had maksimum dua jam untuk menonton TV setiap hari, atau rancang jadual supaya mereka boleh menonton program kegemaran mereka.
Lebih baik lagi, jadikan waktu menonton TV waktu bersama keluarga dengan makan keropok atau bertih goreng sambil menonton filem atau rancangan TV kegemaran seisi keluarga.
Jadualkan pemeriksaan kesihatan
Musim cuti sekolah selalunya mengganggu rutin dan boleh menyebabkan anda terlupa kesihatan anak-anak. Sambil mencatat temu janji sosial, ingatkan diri anda supaya memberi anak-anak anda vitamin atau ubat.
Jika anda membawa mereka bercuti ke mana-mana, jangan lupa membawa bekalan secukupnya supaya anda tidak mengalami sebarang kesulitan sekiranya penerbangan tertangguh.
Simpan salinan preskripsi anak-anak supaya anda tidak menggelabah sekiranya preskripsi asal hilang.
Jaga kesihatan setiap anggota keluarga pada musim cuti ini dengan mengaturkan jadual pemeriksaan kesihatan dengan pakar penjagaan kesihatan profesional dan jangan lupa untuk memastikan mereka mengambil suntikan pelali mengikut jadual imunisasi. Pastikan anak-anak anda dilindungi dengan mendapatkan pemeriksaan doktor.
Petua ini bukan sahaja berguna semasa musim cuti, tetapi juga sepanjang tahun. Menjelang tahun baru, sentiasa utamakan kesihatan anak-anak anda kerana ini adalah tekad paling penting yang boleh anda buat.
Paling penting, ingatlah masa cuti adalah masa untuk keluarga. Inilah masanya untuk anda menghabiskan masa yang berkualiti bersama anak-anak dan peluang untuk anda meneruskan tradisi yang pernah anda lalui bersama ibu bapa anda semasa kecil dahulu.
Luangkan masa sehari untuk menonton wayang bersama keluarga dengan mendaftar di www.pagonline.org.
Artikel ini disumbangkan oleh Kumpulan Ibu Bapa Proaktif (PAG).