Raihan ke Los Angeles selepas raya
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
BIARPUN nama kumpulan nasyid Raihan semakin sepi, tetapi nama kumpulan nasyid yang ditubuhkan pada 1996 itu masih bertahan hingga kini. Raihan mungkin kurang diperkatakan di sini, namun undangan persembahan di luar negara mereka masih lumayan seperti dulu.
Selepas Aidilfitri nanti kumpulan itu akan terbang ke Los Angeles memenuhi undangan nyanyian dan pada awal tahun pula mereka akan ke Ireland.
Sepanjang Ramadan ini pula, kumpulan yang kini bergerak hanya dengan empat orang anggota Che Amran, Amran Ibrahim, Abu Bakar Md Yatim dan anggota yang baru lapan bulan bersama Raihan, Zulfadli Mustaza akan berada di Jakarta dan Bandung selama dua minggu.
Mereka berada di sana bagi memenuhi undangan stesen televisyen seperti RCTI, SCTV dan Indosiar menjayakan program televisyen sempena Ramadan ini. Indonesia umpama rumah kedua buat mereka, sejak 1994 ketika nama Raihan belum berada dikomersialkan lagi. Hampir dua minggu sekali mereka diundang ke sana menjayakan pelbagai program dan persembahan.
Biarpun undangan tidak lagi sekerap dulu tetapi undangan untuk Raihan ke sana masih belum pernah putus. Kerap kali juga tatkala tibanya Ramadan mereka diundang ke Indonesia bagi menjayakan program televisyen sempena bulan mulia ini.
"Mereka ada banyak program Islam yang perlu diisi setiap kali Ramadan. Mereka juga mempunyai banyak stesen televisyen menyebabkan kami terpaksa tinggal lebih lama di sana.
"Bagaimanapun itu tidak menjadi masalah kepada kami kerana Raihan sudah menganggap Indonesia sebagai rumah kedua kami," kata Raihan yang masih belum terfikir untuk mencari ahli baru menggantikan tempat Nordin Jaafar yang menarik diri awal tahun lalu.
Raihan mengakui mereka kini lebih selesa bergerak dengan empat anggota. Setiap anggota akan mempunyai peluang untuk menyanyi secara solo, ia secara tidak langsung dapat memperbaiki mutu vokal setiap anggota kumpulan itu.
Menurut Abu Bakar, semua anggota Raihan mempunyai bahagian untuk dinyanyikan secara solo. Kemampuan mereka membawakan rangkaian lagu Raihan tanpa kehadiran penyanyi utama menyebabkan mereka tidak terfikir untuk mencari pengganti.
"Selain itu peluang setiap anggota menyanyi secara solo adalah satu latihan yang baik. Siapa tahu mungkin selepas ini ada yang ingin mengorak langkah menjadi artis solo, sekurang-kurangnya kami sudah ada asas.
"Lagipun Raihan belum lagi bercadang untuk menghasilkan album baru, justeru kami boleh tumpukan pada lagu yang ada. Setakat ini memang tidak ada langsung rancangan untuk album kerana kami berasakan masanya belum sesuai.
"Jika muncul dengan album sekali pun mungkin album kompilasi yang akan memuatkan lagu Raihan daripada album pertama hingga kelapan. Masalah muat turun lagu daripada internet yang berleluasa menyebabkan kami terpaksa menangguhkan dulu hasrat itu, material sudah ada cuma kami yang masih belum bersedia," kata Abu Bakar yang ditemui di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)
Raihan diundang menjayakan kegiatan Pesona Pentas iaitu kegiatan membabitkan pelajar Jabatan Muzik pusat pengajian berkenaan. Pesona Pentas yang sebelum ini dikenali sebagai On Stage diadakan supaya pelajar berpeluang mendalami kejayaan artis yang diundang. Antara artis yang bakal diundang selepas Raihan ialah Datuk Ahmad Nawab dan Sheila Majid.