'Perang saudara' meletus gara-gara Farid dikatakan curang
SEDANGKAN lidah lagi tergigit, inikan pula girl friend, boy friend. Itulah yang berlaku ke atas pasangan pelakon popular, Farid Kamil dan Irma Hasmie apabila Zubir menyaksikan sendiri perselisihan yang berlaku antara mereka ketika menjayakan Fiesta Media Idola 2007 (FMI’07) di Kuantan, Pahang, April lalu.
FARID bersama
Irma.Namun, itu dua, tiga bulan lalu apabila kini Irma mengakui, hubungan cintanya dengan Farid berjalan seperti biasa, penuh kebahagiaan, rasa sayang, cinta dan tiada apa-apa masalah yang timbul selepas itu. Setakat gaduh-gaduh manja tu biasalah.
Terbaru, ada yang memberitahu Zubir, Farid kononnya berlaku curang terhadap Irma apabila dia baru-baru ini ditemani seorang gadis jelita, dipercayai model remaja, menonton filem box-office Transformers di Tanjung Golden Village (TGV), Kuala Lumpur City Centre (KLCC)!
Hendak dijadikan cerita, insiden berkenaan sudah pun sampai ke pengetahuan Irma, maka tercetuslah ‘perang saudara’ antara kedua-duanya.
Ketika hari kejadian, kalau tak silap 14 Julai, kenalan Zubir beratur membeli tiket filem Transformers apabila di barisan yang sama, selang dua, tiga baris di hadapannya, Farid dan model berkenaan turut beratur untuk membeli tiket yang sama.
Difahamkan, pada awalnya pasangan berkenaan gagal mendapatkan tiket kerana full house, tapi mereka bernasib baik apabila berjaya mendapatkan tiket dengan bantuan petugas di kaunter.
Pasangan berkenaan terus diekori hingga ke pintu dewan untuk memerhatikan gerak geri mereka. Ternyata, Farid dan model itu tidak berpimpin tangan, sebaliknya hanya nampak mesra, mungkin mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.
Zubir difahamkan, pada hari yang sama, Irma tiada di Kuala Lumpur kerana menjayakan penggambaran telemovie. Kononnya Irma mendapat panggilan telefon daripada seseorang menceritakan perihal Farid dan model berkenaan.
Hancur lebur hati Irma sebaik saja mendengar perkhabaran itu. Zubir dengar cerita, Irma tidak terus melenting, sebaliknya dia mengawal gelodak di dalam hati dan berusaha menemui Farid untuk mengetahui cerita sebenar. Irma tidak mahu mempercayai laporan telefon semata-mata, dikhuatiri ada ‘nasi tambah’.
Khabarnya perang besar jugalah Farid dan Irma apabila mereka bersemuka mencari kebenaran. Namun, Zubir tidak pasti adakah hubungan cinta mereka sudah berakhir gara-gara insiden berkenaan. Namun, jauh di sudut hati, Zubir mengharapkan percintaan Farid dan Irma mampu diselamatkan.
Zubir kenal sangat dengan Farid dan Irma ni, justeru carilah segera jalan penyelesaian agar dugaan yang melanda memperoleh penawarnya, Insya-Allah.