ISLAMABAD: Sekumpulan warga Pakistan mencipta laman web baru
untuk menghubungkan 1.6 bilion Muslim
selepas berang dengan laman Facebook
kerana menyiarkan karikatur Nabi
Muhammad selain mewujudkan saluran baru melawan propaganda
anti-Islam. Kumpulan itu membabitkan enam profesional teknologi maklumat
(IT) di pusat budaya dan hiburan Pakistan, Lahore, yang melancarkan
laman web www.millatfacebook.com, awal
minggu ini.
Ia dilancarkan selepas
mahkamah Pakistan mengarahkan sekatan ke atas Facebook sehingga Isnin
ini atas bantahan terhadap satu laman Everyone Draw Mohammed Day (Hari
Lakar Muhammad) yang menghina Islam.
“Millatfacebook
dicipta bagi memenuhi keperluan sosial penduduk Pakistan. Laman untuk
Muslim termasuk orang lain yang baik daripada agama lain turut
dialu-alukan,” kata laman web itu kepada yang berminat menjadi ahli.
“Kami mahu beritahu ahli Facebook bahawa mereka
akan terima padah jika mengganggu kami,” kata Ketua Pegawai Operasi
syarikat yang menempatkan laman itu, Usman
Zaheer, 24.
“Jika ada orang menghina nabi, kami akan jadi
lawan mereka dan menyebabkan mereka rugi besar,” katanya yang bermimpi
menjadikannya laman sosial terbesar Muslim.
Dikenali dengan
singkatan MFB, seperti juga FB
bagi Facebook, pengasasnya berkata, pakar IT kini berusaha memasukkan
ciri-ciri lain ke dalamnya bagi mencabar pesaing dari California itu.
Setiap ahli memiliki ‘dinding’ untuk ulasan sahabat selain mengandungi
kemudahan emel, foto, video, ruang
sembang dan perbincangan.
Perkataan ‘Millat’ adalah bahasa Urdu yang biasa digunakan untuk
merujuk kepada negara. Laman web itu sudah mempunyai 4,300 ahli selepas tiga hari
dilancarkan, kebanyakannya warga Pakistan yang boleh berbahasa Inggeris
dalam lingkungan usia 20-an.
Angka itu jauh lebih kecil daripada
keahlian Facebook di Pakistan buat masa ini sebanyak 2.5 juta dan ulasan
awal menunjukkan MFB memerlukan lebih banyak masa untuk benar-benar
menyaingi FB.
Bagaimanapun, Usman gembira dengan hasil awal laman
web itu yang sudah menarik penyertaan warga Britain, Bulgaria, Kanada, China, Russia, Emiriyah Arab Bersatu
dan Amerika Syarikat. – AFP
Source : AFP