Isu klip video lucah yang tersebar di internet masih menghantui dirinyaPERKHABARAN aib itu masih menghantui diri Ratu Rock, Ella. Merah hatinya masih mengalirkan luka, pedih namun Ella tahu, dia wajar menangani masalah itu dengan berhati-hati.
Sejak isu klip video lucah yang mengaitkan dirinya di internet, hari yang dilalui penyanyi yang sedang meledak dengan lagu Sekilas Cinta ini sudah tidak setenang dulu.
Jujur kata Ella, hatinya terguris apabila dikaitkan dengan perkara aib yang ternyata menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita Islam. Namun apa dayanya untuk menghalang masyarakat daripada terus berkata-kata.
Dia tidak pernah menyalahkan mereka yang datang kepadanya dan bertanya mengenai kebenaran klip video itu. Bagaimanapun, jauh di lubuk hatinya, dia sentiasa menyemat doa, mengharap semua dugaan itu akan segera berlalu dan dia mendapat semula ketenangan hidup selepas apa yang berlaku itu mengocak ketenteraman serta kedamaian jiwa yang selama ini dipertahankan.
"Justeru, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan mencari dalang yang bertanggungjawab menyebarkan klip video mengaibkan itu.
"Cerita itu sangat melukakan, malah menjatuhkan maruah dan harga diri saya sebagai seorang wanita. Namun, jika saya berada di pihak yang benar mengapa perlu saya takut untuk berdepan dengan orang ramai.
"Tuhan ada dan apa yang berlaku kepada saya ini akan berlaku semula kepada orang yang tidak bertanggungjawab itu. Mungkin hari ini hari saya tetapi saya percaya, esok lusa mereka akan mendapat balasannya," kata Ella, mengakui masih terluka biarpun isu itu sudah hampir dua bulan diperkatakan.
Biarpun terus diasak dengan persoalan yang sama daripada pihak media, juga peminat yang ingin mendapat kesahihan serta cerita sebenar, Ella bertindak waras.
Baginya, perkara mengaibkan itu perlu ditangani menggunakan saluran yang betul dan Ella percaya, pihak berkuasa akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
"Saya serahkan semua ini kepada pihak berkuasa dan saya percaya, masalah ini akan selesai juga satu hari nanti. Keadilan harus ditegakkan," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat rakamannya, EMI di Berjaya Hotel & Convention Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Cuba lagi diasak mengenai persoalan itu, Ella berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkannya sebaliknya, meluahkan kerisauan terhadap kekejaman yang dilakukan kepada kanak-kanak terutama selepas peristiwa penderaan seksual dan pembunuhan kejam, Nurin Jazlin Jazimin.
"Isu itu lebih besar daripada apa yang saya lalui ini. Saya sendiri tidak dapat menerima apa yang dilakukan terhadapnya, bagaimana pula dengan ibu dan bapanya? Apa yang terjadi kepadanya mengingatkan saya, ada orang yang lebih hebat diduga namun mereka masih tabah menerima ketentuan takdir.
"Saya gusar dan kehairanan, ke mana perginya pertimbangan sebagai manusia hingga sanggup melakukan perkara kejam seperti ini? Semua itu membuatkan saya bimbang, apatah lagi saya sendiri mempunyai anak saudara yang kecil dan masih belum mengerti makna sebuah kehidupan," katanya kesal dengan kejadian itu.