KUALA LUMPUR: Kenaikan mendadak harga ayam di pasaran yang mencecah RM8.50 hingga RM9.90 sekilogram tidak menjejaskan permintaan makanan itu apabila bekalan ayam di kebanyakan pasar basah dan kedai runcit habis seawal jam 12 tengah hari.
Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar basah, pasar raya dan kedai runcit sekitar ibu kota mendapati kebanyakan pengguna terburu-buru dengan membeli bekalan ayam dalam kuantiti banyak ekoran kebimbangan harga itu akan terus meningkat.
Suri rumah, Saodah Abdullah, 50, berkata pengguna tidak mempunyai pilihan selain membeli ayam walaupun menyedari harga di pasaran terlalu mahal dan membebankan.
“Saya berkeluarga besar yang memerlukan penggunaan ayam yang lebih sebagai bahan masakan.
“Suami dan anak-anak lebih gemar ayam berbanding ikan atau daging menyebabkan saya membelinya dalam kuantiti banyak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Saodah berkata, kenaikan itu tidak wajar kerana membebankan isi rumah yang terpaksa berbelanja lebih setiap hari terutama sepanjang seminggu cuti persekolahan selain faktor kenduri kahwin.
Pengguna, Ahmad Bohari Mohd Nor, 46, berkata kenaikan harga ayam secara mendadak iaitu kira-kira RM1.50 itu memberi kesan kepada perbelanjaan hariannya.
“Saya harap pihak terbabit memantau harga ayam terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan kerana ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga terlalu tinggi,” katanya.
Peniaga pasar basah, R Gopal, 31, berkata peniaga terpaksa menaikkan harga kerana pembekal menjual ayam kepada mereka dengan harga tinggi RM8 sekilogram.
Katanya, peniaga memperoleh untung kecil selain perlu menampung beberapa kos penyelenggaraan termasuk bayaran pekerja dan perkhidmatan yang disediakan pasar itu.
“Minggu lalu, kami menjual ayam pada harga RM7.50 sekilogram, tetapi naik sedikit demi sedikit hingga sekarang dengan harga RM8.50 sekilogram,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abd Rahman, berkata masalah kenaikan harga ayam secara mendadak ini berpunca daripada harga tinggi bekalan makanan ayam yang diimport dari negara luar.
Mohd Yusuf berkata, kebanyakan negara pengimport kini mengalami bencana alam yang menyebabkan bekalan produk dijual dengan harga mahal dan senario ini memberi kesan kepada harga barangan terutama bekalan ayam di pasaran