SHAH ALAM: “Saya tidak menyangka ada pihak berani menggunakan nama klinik saya semata-mata untuk menjual sijil cuti sakit (MC) sehingga mencemarkan nama klinik ini,” demikian kata seorang doktor yang tidak berpuas hati apabila ada pihak ketiga menjual MC menggunakan nama kliniknya, di sini.
Doktor berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Latifah, 40-an, berkata, dia mengesyaki sesuatu selepas pekerjanya memaklumkan beberapa syarikat di ibu kota menghubunginya bagi mendapatkan kesahihan mengenai MC yang kononnya dikeluarkan kliniknya berdasarkan nama tertera dalam sijil itu.
Katanya, lebih mengecewakan apabila majikan terbabit memarahinya kerana menjual MC, malah mengugut mahu membuat laporan polis.
Beliau berkata, dia yang terkejut dengan kejadian itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Jumaat lalu kira-kira jam 6 petang. “Selain itu, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada seorang pelanggan, MC terbabit boleh dibeli daripada seorang individu di Klang dengan bayaran tertentu.
“Saya berasakan seperti dianiaya dan difitnah, malah kesal dengan tindakan yang dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab itu yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Menurut Latifah, kliniknya tidak pernah menjual MC kepada pelanggan, malah tidak pernah berurusan jual beli di kaunter klinik.
“Kami mengamalkan peraturan ketat dalam pemberian MC dan hanya ketua jururawat yang berhak mengeluarkan MC yang perlu disahkan doktor,” katanya.
Katanya, kegiatan individu itu menjejaskan nama baiknya serta menyebabkan perniagaannya merosot.
Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kes terbabit dan enggan mengulas lanjut.