BANDAR BAHARU: “Sudah ratusan kali saya membuka beg ditinggalkan di kawasan lebuh raya ini yang kebanyakannya berisi pakaian, tapi kali ini amat memeranjatkan kerana ada mayat budak.”
Demikian kata pekerja trak tunda dikenali sebagai Ng, 45, yang menemui mayat budak lelaki berusia lebih setahun dalam satu beg pakaian di Kilometer 175.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat selekoh susur keluar Plaza Tol Bandar Baharu, kelmarin.
Ng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika dia melalui laluan berkenaan bagi mencari kereta rosak yang memerlukan bantuan trak tunda.
“Ketika lalu di situ, dua penjaga landskap yang melakukan kerja pembersihan menahan trak saya. Saya memang mengenali mereka dan segera memberhentikan kenderaan saya.
“Mereka memaklumkan terjumpa satu beg mencurigakan dan meminta saya membukanya kerana mereka takut berbuat demikian,” katanya.
Ng berkata, sebaik membuka beg itu dia terkejut besar apabila mendapati ada mayat budak di dalamnya. “Saya memberitahu dua pekerja terbabit mengenainya, tetapi mereka berdua bertempiaran lari kerana takut,” katanya yang menghubungi polis selepas itu.
Menurut Ng, dia sudah 17 tahun menggunakan laluan itu dan berulang-alik melaluinya sekurang-kurangnya lima kali sehari, namun ini kali pertama menemui mayat budak diletakkan di dalam beg di tepi lebuh raya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris berkata, polis bergegas ke tempat kejadian mendapati mayat budak itu memakai baju warna merah dan berseluar pendek.
“Beg mengandungi mayat budak itu diletakkan di sebelah tiang lampu di kawasan pokok hiasan tidak jauh dari plaza tol,” katanya.
Menurutnya, budak itu dipercayai berketurunan India.
“Siasatan mendapati tiada kesan kecederaan pada budak itu yang dipercayai baru beberapa jam meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal juga mendapati ada cecair keluar dari mulut serta hidung mayat budak itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, mayat budak cukup sifat itu dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab membuang mayat bayi itu.
Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat kejadian supaya dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu di talian 04-4076545.- metro
__________________