KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyenaraikan 15 jenis makanan dan minuman yang dilarang untuk dijual di kantin sekolah bagi menjamin kesihatan murid selain mengelakkan berlakunya masalah obesiti di kalangan mereka.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara makanan termasuk dalam kategori itu adalah mee segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan ringan yang berperisa dan mempunyai pewarna tiruan serta makanan yang diproses seperti daging burger, sosej dan nuget.
“Pada Mei nanti, kita akan berkongsi garis panduan ini dengan orang ramai dan mengedarkan kepada pengusaha kantin selepas mendapat pengesahan kerana ia masih di peringkat cadangan oleh kementerian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertama Persatuan Pegawai Sains Kementerian Kesihatan (Asomh).
Bagaimanapun, kementeri katanya tidak menafikan selepas mengeluarkan larangan jualan makanan ini, kemungkinan pengusaha kantin akan membantah, tetapi apa yang perlu diberi penekanan adalah kesihatan kanak-kanak berbanding keuntungan yang dikaut.
Beliau berkata, senarai yang dilarang itu hanya tertumpu kepada jualan di kantin sekolah dan tidak meliputi jualan oleh penjaja makanan ringan di luar pagar sekolah.
Namun katanya, garis panduan kepada penjaja makanan ringan di luar pagar sekolah juga akan dicadangkan dalam masa terdekat.
Menurut Rosnah, jenis minuman yang dilarang pula adalah minuman yang mengandungi alkohol, teh dan kopi, minuman berkarbonat, minuman yang mempunyai bahan pewarna serta minuman berperisa kecuali susu berperisa.
“Walaupun isu nasi lemak hangat diperkatakan, namun di dalam garis panduan yang bakal dilancarkan bulan depan, nasi lemak termasuk dalam 60 menu makanan yang boleh diambil, namun perlu disediakan dengan cara yang lebih sihat seperti mengurangkan santan dalam nasi dan minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan bilis,” katanya.
Lima lagi yang dilarang adalah makanan ringan yang berupa mainan, semua makanan yang disertakan dengan permainan, makanan jeruk, makanan dan minuman yang melepasi tarikh luput serta semua jenis makanan dan minuman yang melanggar Peraturan Makanan 1985.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Rosnah turut menyatakan untuk menuju ke arah menjayakan inovasi baru dan melahirkan paten yang canggih berkaitan perubatan dan kesihatan, insentif sebanyak RM15,500 akan diberikan kepada penyelidik sains yang berjaya menghasilkan paten dan akan dibayar royalti sebanyak 80 peratus.-metro
__________________