GEORGETOWN: Hanya beralaskan kain dan dibungkus dengan plastik hitam, seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di bawah pokok di Jalan Satu, Changkat Miden di Gelugor, pagi semalam.
Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui jam 7 pagi oleh orang ramai yang kebetulan berjoging di kawasan berkenaan.
Saksi, T Satyadevi, 69, berkata, ketika itu dia berada dalam rumah kakaknya tidak jauh dari kawasan berkenaan sebelum dikejutkan dengan penemuan bayi itu selepas terdengar tangisan bayi.
Menurutnya, dia yang bergegas ke kawasan itu diminta membuka bungkusan berkenaan.
Katanya, dia terkejut apabila mendapati seorang bayi lelaki yang comel masih bertali pusat dalam bungkusan berkenaan dan terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
“Saya bersyukur kerana bayi comel ini ditemui hidup walaupun masih dalam keadaan bertali pusat serta tidak digigit anjing atau serangga berbisa lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan bayi lelaki yang masih bernyawa dan sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi penemuan.
Menurutnya, bayi lelaki yang masih belum diketahui bangsanya itu k dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, pihaknya masih lagi menyiasat untuk mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab meninggalkannya di kawasan berkenaan.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822.-metro