KUALA LUMPUR: Memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk’ dan mengaku memiliki rangkaian perniagaan terbesar di negara ini, seorang lelaki dikesan giat menipu agensi peminjam wang berlesen di Lembah Klang sejak empat bulan lalu.
Lelaki berusia lewat 40-an yang digelar Datuk Tan itu memperdayakan mangsa untuk memberikan pinjaman kepadanya konon sebagai modal tambahan perniagaan yang dijalankan.
Dua institusi peminjam wang berlesen yang menjadi mangsa Datuk terbabit masing-masing kerugian RM10,000 dan RM15,000. Perkara itu didedahkan Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong dan Presiden Persatuan Peminjam Wang Berlesen Malaysia, R C Veeraseelan dalam sidang media di Wisma MCA, semalam.
Menurut Michael, Datuk terbabit bijak bermain kata selain gayanya yang bagaikan tokoh korporat dengan menunjukkan gambar dan dokumen peribadi bagi meyakinkan setiap mangsa.
Katanya, ketika menjalankan urusan pinjaman, dia ditemani pembantu peribadi dan menaiki kereta mewah yang menggambarkan kehebatannya.
“Dia berjanji akan melunaskan bayaran itu selewat-lewatnya tiga minggu dari tarikh pinjaman. Bagaimanapun, lelaki terbabit menghilangkan diri dan gagal dikesan,” katanya.
Sementara itu, Veeraseelan berkata, pihaknya percaya lelaki itu masih menjalankan kegiatan penipuan terbabit.
“Kami berharap semua peminjam wang berlesen meneliti terlebih dulu latar belakang peminjam tanpa mengira status dan pangkat mereka.
“Pastikan proses pinjaman mengikut prosedur supaya jika berlaku sebarang masalah, peminjam boleh dikesan,” katanya.-metro