KUALA LUMPUR: Ingin kaya cepat dan menjadi jutawan segera menyebabkan ramai wanita Melayu sanggup membahayakan nyawa sendiri dengan meminjam wang daripada ceti haram atau along.
Kebanyakan wanita ini yang berusia antara 25 hingga 40 tahun dikesan meminjam sehingga RM100,000 daripada ceti haram semata-mata untuk dilaburkan ke dalam perniagaan jualan langsung berbilang tingkat (MLM) atau skim cepat kaya.
Bagaimanapun, mereka akhirnya menjadi mangsa dan terpaksa melarikan diri selepas diburu along yang bertindak ganas merosakkan harta benda selain mengancam keselamatan keluarga mangsa.
Perkara itu didedahkan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong (gambar) berdasarkan statistik dikumpul bironya sejak Januari 2010 hingga Mei ini yang mendapati 116 wanita menjadi mangsa kumpulan lintah darah itu.
“Daripada jumlah itu, hampir 45 peratus berbangsa Melayu yang mengaku pinjaman itu digunakan sebagai modal memulakan perniagaan kecil-kecilan atau melabur dalam MLM atau skim cepat kaya,” katanya.