KUALA LUMPUR: “Tarif elektrik tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya, malah apa pun keputusan yang akan diumumkan dalam mesyuarat Kabinet pasti tidak akan membebankan konsumer,” kata Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings (RAM), Dr Yeah Kim Leng.
Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi bahawa kerajaan akan membenarkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menaikkan kadar tarif elektrik dan semakan itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet yang bersidang pada hari ini.
Menurutnya, kadar tarif elektrik pasti akan naik, namun ia masih dalam skala yang kecil iaitu antara 0.1 hingga 0.2 peratus berikutan pada masa ini terdapat peningkatan harga bahan bakar termasuk arang batu dan petroleum di peringkat global.
“Pengguna tidak perlu risau kerana kerajaan juga akan memastikan sebarang semakan yang akan dilakukan tidak akan membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah yang akan diutamakan sebelum membuat sebarang keputusan menaikkan tarif elektrik itu nanti.
“Bagaimanapun kedudukan syarikat strategik seperti TNB juga perlu diambil kira selain jika kita lihat seperti semakan tarif elektrik sebelum ini yang mana ia tidak menjejaskan majoriti pengguna,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai tarif baru elektrik itu perlu diterima oleh semua pihak yang mana pengguna perlu bijak menggunakan tenaga elektrik dan mengelak pembaziran berlaku.
Katanya, penyelarasan kadar tarif baru elektrik berikutan penghapusan subsidi tahun lalu juga dilihat tidak memberi kesan terhadap 56 peratus pengguna isi rumah di seluruh negara, malah peratusan itu membabitkan 20 peratus pengguna di kalangan rakyat yang memperoleh bekalan elektrik secara percuma, manakala 30 peratus lagi masih menikmati harga lama sekarang ini.
“Sama ada tarif elektrik naik atau kekal, saya yakin ia tidak akan memberi kesan atau membebankan pengguna kerana penggunaan tenaga yang minimum bagi setiap pengguna isi rumah di negara ini,” katanya.
sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesanhanyaminimum/Article/index_html