GOMBAK: Hanya sehari selepas seorang bayi lelaki baru dilahirkan maut akibat dicampak dari tingkat lima pangsapuri, seorang lagi bayi menjadi mangsa kekejaman apabila dibuang dalam ruang membuang sampah sebuah rumah teres di Taman Pelangi, Rawang di sini, semalam.
Bagaimanapun, bayi lelaki yang juga baru dilahirkan dan masih bertali pusat itu terselamat daripada maut apabila dia ditemui pemilik rumah berkenaan ketika mahu membuang sampah pada kira-kira jam 9.30 pagi.
R Punitha, 25, berkata ketika baru keluar rumah untuk membuang sampah, dia sempat melihat dua wanita menunggang motosikal meletakkan sesuatu di ruang membuang sampah di depan rumahnya.
“Saya nampak sendiri dua wanita yang menunggang motosikal meletak sesuatu di depan rumah saya. Saya sangka mereka membuang sampah dan saya kurang senang dengan tindakan mereka kerana tempat itu kawasan persendirian.
“Saya membuka pintu pagar dan menjerit ke arah mereka, namun kedua-dua wanita itu segera memecut laju,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, semalam.
sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayidalamsampah/Article/index_html