JOHOR BAHRU: Dalam tempoh kurang tiga jam, 10 keluarga yang tinggal di tiga blok berasingan di Pangsapuri Bayu Puteri 3, berhampiran Permas Jaya, di sini, kerugian RM200,000 selepas rumah mereka dipecah masuk serentak sekumpulan penjenayah profesional, tengah hari kelmarin.
Kumpulan penjenayah itu didapati memecah masuk 10 unit berkenaan dengan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai dan barang kemas ketika semua mangsa keluar bekerja atau sibuk dengan urusan di luar.
Seorang mangsa, Noraina Mohamad, 25, berkata, dia dan kakaknya, Noramalina Mohamad, 28, hanya menyedari kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja kira-kira jam 8 malam, kelmarin.
Menurutnya, mereka terkejut apabila mendapati jeriji dipotong manakala pintu terdapat kesan umpilan. Sebaik diperiksa, keadaan ruang tamu dan bilik berselerak dipercayai digeledah kumpulan penjenayah itu.
“Kakak terus memeriksa wang tunai RM100,000 yang disimpan di dalam bilik tidur untuk dibayar kepada kontraktor didapati lesap, malah jam tangan berjenama milik abang ipar juga hilang.
“Kami pelik apabila mendapat tahu sembilan keluarga lain turut mengalami nasib sama sedangkan kawasan ini berpagar dan dikawal pengawal keselamatan bertugas 24 jam,” katanya.
Seorang lagi mangsa, B Mogana, 24, berkata, kejadian itu amat mengejutkan berikutan membabitkan 10 rumah dan berlaku dalam tempoh singkat.
Menurutnya, akibat kejadian itu, keluarganya kerugian lebih RM20,000 apabila koleksi barang kemas dan sejumlah wang tunai disimpan dalam rumah lesap.
“Sebelum ini, kami pernah mendengar kejadian pecah rumah di kawasan ini, bagaimanapun membabitkan satu atau dua rumah saja.
“Namun kali ini mereka bertindak lebih berani apabila melarikan pelbagai barangan berharga,” katanya.
Beberapa pemilik yang menjadi mangsa turut kecewa dengan kejadian itu selain sikap lepas tangan pihak pengurusan.
Ia berikutan, hasrat mereka meminta penjelasan terhadap kejadian itu gagal, sebaliknya pihak pengurusan menasihatkan mangsa supaya melaporkan kepada polis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, penjenayah itu dipercayai mengambil kesempatan pecah masuk ketika penghuni tiada di rumah.
Menurutnya, pencerobohan itu juga tidak disedari pengawal keselamatan di situ.
“Polis akan meningkatkan pemantauan menerusi rondaan berterusan di kawasan berkenaan.
“Malah siasatan juga dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kegiatan jenayah terbabit,” katanya.
sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pecah10rumahserentak/Article/index_html