JOHOR BAHRU: Akibat ‘waran tangkap’ dikeluarkan ceti haram atau along, seorang ibu beranak lima nyaris mengambil keputusan membunuh diri di dalam kenderaan bersama anak lelaki kembarnya berusia setahun setengah di tepi Jalan Yusof Taha, tengah hari Jumaat lalu.
Tindakan itu nyaris dilakukannya selepas along berkenaan bukan saja mengaibkannya di tempat kerja, Khamis dan Jumaat lalu, malah mengugut menangkap jika gagal menjelaskan bunga sebanyak RM4,000 melalui pinjaman RM2,000.
Kerani sebuah sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Azwin, 32, berkata dia tidak menyangka terjebak dengan along kerana pada mulanya meminjam untuk membeli susu anak kembarnya.
“Januari 2010 saya mula meminjam RM100 daripada along apabila bekalan susu anak kembar habis dan tidak mampu membeli kerana pendapatan hanya RM700 sebulan, sedangkan saya perlu menampung perbelanjaan dapur dan persekolahan tiga anak lelaki berusia antara 6 hingga 12 tahun.
“Sebelum ini, hidup kami seperti keluarga biasa, namun menghadapi masalah kewangan selepas suami, Wan, 34, diserang penyakit misteri kerap pitam dan rebah mengakibatkan dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu pejabat di sebuah syarikat swasta sejak hampir dua tahun lalu,” katanya.
Azwin berkata, akibat desakan hidup dia terpaksa meminjam daripada beberapa along bagi melunaskan hutang terdahulu hingga terikat dengan 10 along pertengahan tahun lalu.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu dia membuat pinjaman terakhir RM2,000 daripada seorang along di bandar raya ini, Julai lalu, selepas membaca iklan di sebuah akhbar.
Katanya, menerusi pinjaman itu keluarganya menjelaskan baki hutang kira-kira RM1,500 kepada 10 sindiket along menerusi bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai orang tengah.
“Masalah timbul semula apabila gagal menjelaskan kadar bunga RM560 secara ansuran selama enam bulan, sedangkan mereka menuntut bayaran sebanyak 12 kali selama setahun,” katanya.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/conten...a&pg=du_10.htm