ALOR SETAR – Seorang gadis lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) trauma apabila rambutnya dipotong sehingga botak ketika menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wakaf Tapai di Marang, Terengganu bagi jawatan Penolong Penguasa Bomba pada 2 Mei lalu.
Hizyaty Othman, 28, dari Taman Berjaya, Jalan Pegawai di sini, kini terpaksa melupakan impiannya untuk berkhidmat di JBPM kerana sudah serik untuk menjalani semula latihan di kem tersebut.
Selain Hizyaty, seramai 18 lagi pelatih wanita yang dibotakkan kepala pada hari mereka mendaftar pada petang 2 Mei lepas.
Menurutnya, dia dan 18 pelatih wanita lain terkejut apabila rambut mereka dipotong sehingga botak tanpa diberi sebarang penjelasan mengenai tindakan itu.
“Seorang kakitangan wanita di kem itu memanggil pelatih seorang demi seorang ke dalam sebuah bilik dan rambut kami dipotong menggunakan mesin gunting rambut.
“Saya terkejut apabila melihat seorang pelatih keluar dengan kepala botak dan ketika itu saya hanya berserah kerana fikir mahu teruskan latihan di kem itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Berjaya di sini semalam.
Hizyaty memberitahu, dia hanya berdiam diri ketika rambutnya dipotong dalam masa kira-kira lima minit kerana menganggap ia satu prosedur biasa sebagai pelatih di situ.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/conten...a&pg=ne_05.htm