KUALA LUMPUR: Belum sampai setahun menggunakan kereta pertamanya, seorang jurujual terkejut selepas beberapa surat saman dihantar ke alamat kediamannya di Bandar Sri Damansara, di sini, sejak awal tahun ini.
Mangsa dikenali sebagai Poong, 23, yang membeli Perodua Myvi menggunakan nombor pendaftaran WSV5270 pada 27 Julai 2010 mendapati ada pihak lain menggunakan nombor itu pada kenderaan mereka.
Kejadian disedari Poong selepas menerima sepucuk surat saman daripada Balai Polis Subang, 27 Januari lalu, mengatakan kenderaannya terbabit kes langgar lari pada 27 Disember 2010.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, mangsa terkejut kerana dia tidak pernah langsung terbabit mana-mana kemalangan tetapi segera ke balai bertanyakan surat itu.
“Poong tidak pernah melalui kawasan seperti dinyatakan dalam surat itu.
“Polis meminta mangsa menghubungi individu membuat laporan terbabit dan individu itu mendakwa, kereta yang melanggarnya pada hari kejadian dipandu lelaki lain,” katanya.
Selepas itu, Poong dinasihatkan polis berhubung dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menggugurkan saman terbabit dan dia menurutinya.
Bagaimanapun, baru-baru ini, pada 21 Jun, Poong sekali lagi menerima surat saman atas kesalahan memandu melebihi had laju pada 2 Jun di Kilometer 383, Lebuhraya Utara-Selatan, padahal dia tidak pernah melalui kawasan itu. Mangsa merujuk perkara itu ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan melalui gambar rakaman diberikan polis, kereta itu bukan miliknya kerana berlainan model, malah mempunyai antena sedangkan keretanya tiada.
Sehubungan itu, Poong membuat laporan polis kerana mengesyaki plat keretanya disalah guna individu lain.
Sehingga semalam, mangsa menerima lima saman trafik bukan miliknya, malah Poong pernah ke Ipoh membayar dua saman RM600.
Chong berkata, mungkin terdapat kesilapan teknikal dari segi pendaftaran nombor kenderaan, namun tidak menolak kemungkinan ada pihak menyalahgunakan nombor pendaftaran itu.
sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/art...cle/index_html