KUALA LUMPUR - Masalah cetak rompak dan muat turun lagu menerusi Internet adalah antara punca utama yang menyebabkan industri muzik tempatan semakin terjejas.
Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia Sdn. Bhd., Adrian Lim (gambar) berkata, akibat masalah berkenaan, jumlah album yang dihasilkan semakin berkurangan.
"Kira-kira 10 tahun yang lalu, syarikat kami mampu menghasilkan sehingga 15 album setahun, tetapi kini kami sekadar mengeluarkan lima buah album setahun.
"Sebelum ini sesebuah album mampu dijual sehingga 50,000 unit, namun pada masa sekarang hendak jual 5,000 unit sangat sukar," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Adrian, kesuraman industri muzik tempatan pada masa ini amat ketara sehingga ia turut menjejaskan penyertaan pada Anugerah Industri Muzik (AIM 18) yang akan berlangsung pada bulan November ini.
Ujarnya, beberapa kategori dalam acara tersebut antaranya Album Pop Terbaik dan Album Rock Terbaik terpaksa dimansuhkan ekoran pencalonan yang diterima tidak mencukupi kerana kekurangan penghasilan album.
Sementara itu, Adrian juga menyatakan pihaknya menyokong tindakan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 10 laman web yang menyediakan perkhidmatan muat turun secara haram.
Menurutnya, menggunakan perkhidmatan tersebut adalah menyalahi undang-undang, namun ramai kurang menyedari perkara berkenaan.
"Oleh sebab itu orang ramai sekarang ini sudah tidak lagi berminat untuk membeli album kerana mereka boleh memperoleh lagu-lagu kegemaran mereka tanpa membayar apa-apa.
"Jika kegiatan haram tersebut tidak diatasi dengan segera, individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab ini akan sewenang-wenangnya memiliki hasil kerja orang lain secara percuma," ujarnya.
Jelasnya, penjualan album merupakan salah satu punca pendapatan seseorang penyanyi, komposer atau pemuzik dan rezeki mereka akan terjejas akibat kegiatan muat turun lagu melalui Internet.