BRISTOL - Majlis Perbandaran Bristol di Britain mengeluarkan garis panduan bagi menangani serangan zombi, lapor sebuah akhbar semalam.
Garis panduan itu menunjukkan cara terbaik untuk membunuh zombi iaitu mayat yang kembali hidup dan memburu manusia untuk memakan daging mereka.
Majlis Perbandaran Bristol mengeluarkan garis panduan itu sebagai reaksi terhadap permintaan kebebasan maklumat.
Ia dikeluarkan selepas seorang penduduk meminta maklumat apa yang perlu dilakukan jika zombi membuat serangan.
Garis panduan itu memberikan maklumat mengenai penduduk boleh menggunakan senjata api seperti senjata renjatan elektrik, gari dan memakai pakaian perlindungan untuk membunuh zombi.
Menurut garis panduan tersebut, zombi itu boleh dibunuh dengan melakukan satu pukulan kuat di bahagian kepala atau memutuskan kepala mayat hidup itu.
Bagi mengelak berlaku panik, berita akan disiarkan mengenai perkembangan serangan zombi.
Garis panduan itu melibatkan bandar Whitchurch Park, Shirehampton dan Totterdown di dalam kawasan perbandaran Bristol. - Agensi
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0709&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm