ARAU - Seorang warga emas di sini yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 bukan sahaja masih kuat bekerja malah mampu berjalan kaki sejauh lima kilometer sehari mengalahkan orang muda.
Saad Jasin memiliki rahsia tersendiri untuk kekal sihat walaupun usia sudah lanjut iaitu dia tidak mengambil makanan bergoreng dan tidak minum kopi.
Kelmarin insan istimewa itu diraikan oleh anggota keluarganya seramai 76 orang di rumahnya di Kampung Paya Guring dekat sini.
Majlis berlangsung cukup meriah termasuk acara memotong kek dan pulut kuning oleh insan berkenaan.
"Saya tidak pernah makan makanan bergoreng dan minum kopi kerana ia melemahkan anggota badan dan tulang.
"Saya hanya makan nasi berlauk dan minum air kosong dan teh sahaja setiap hari.
"Bagi mengelak badan jadi bongkok, saya bangun pagi dengan duduk perlahan-lahan sebelum berjalan.
"Elak bangun dengan keadaan tergesa-gesa yang boleh mengejutkan tulang kita," katanya pada pemberita di sini semalam.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm