SEMAKIN PULIH...wajah Carla sebelum (kiri) dan selepas diserang cimpanzi serta selepas menjalani pembedahan transplan (kanan).
WASHINGTON 12 Ogos - Doktor menyiarkan pertama kali semalam, gambar seorang wanita Amerika Syarikat (AS) yang menjalani rawatan pemindahan muka dua bulan lalu ekoran kecederaan teruk setelah diserang seekor cimpanzi yang mengamuk, milik kawannya.
Charla Nash, yang buta serta kehilangan kedua-dua tangannya dalam serangan tersebut, kelihatan terbaring di atas katil hospital, melalui gambar yang diedar oleh Hospital Brigham and Women di Boston, Massachusetts.
"Saya kini mampu melakukan perkara-perkara yang ingin dilakukan sebelum ini.
"Saya akan boleh menghidu semula dan makan secara normal serta tidak lagi cacat. Saya akan mempunyai bibir dan bercakap dengan jelas. Saya juga akan mampu mencium memeluk orang yang disayangi. Saya sangat bersyukur dengan penderma dan keluarganya," katanya.
Dalam serangan tersebut, Nash kehilangan kedua-dua matanya, hidung, rahang atas dan bibir serta kebanyakan tisu lembut di mukanya, kata doktor.
Identiti penderma dirahsiakan atas permintaan keluarganya.
Pemindahan muka secara penuh kali pertama dilakukan di Sepanyol, dan doktor hospital Vall d'Hebron di Barcelona memaparkan hasil kerja mereka kepada umum pada Julai 2010.
Pemindahan muka secara tidak penuh kali pertama berjaya dilakukan di Perancis pada 2005 ke atas Isabelle Dinoier, seorang wanita berusia 38 tahun yang mengalami kecederaan teruk diserang anjingnya.
Sejak itu, berpuluh-puluh pembedahan pemindahan muka telah dilakukan di China, AS dan Sepanyol. - AFP
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm