LONDON 13 Ogos - Seorang pemuda yang ditahan berhubung kejadian pelajar Malaysia diserang dan disamun di Barking ketika rusuhan di London, baru-baru ini telah didakwa atas tuduhan merompak pelajar tersebut.
Jurucakap Polis Metropolitan berkata, Reece Donovan berumur awal 20-an dari Romford, timur London telah didakwa merompak Muhammad Asyraf Haziq Rossli.
''Donovan dibawa ke mahkamah lewat hari ini untuk didakwa,'' katanya.
Donovan ditahan kelmarin selepas orang ramai mengutuk serangan ke atas Muhammad Asyraf oleh sekumpulan pemuda dan kanak-kanak.
Video mengenai serangan ke atas pelajar jurusan akaun itu telah dirakam dan disiarkan di laman YouTube menunjukkan sekumpulan lelaki berlakon membantu Muhammad Asyraf, sebaliknya bertindak menyerang dan menyamunnya.
Rakaman video itu telah tersebar luas dengan ditonton hampir tiga juta kali di YouTube.
Kejadian itu turut disifatkan oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron sebagai tindakan menjijikkan dan menandakan nilai moral masyarakat Britain semakin teruk. - AFP
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm