SEPANG: Penderitaan seorang ibu sarat mengandung yang terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer sebelum melahirkan anak sebaik tiba kem pelarian antara pengalaman sukar dilupakan anggota misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) yang pulang ke tanah air, semalam.
Seorang daripada sukarelawan, Dr Baharudin Suri berkata, sukar dibayangkannya bagaimana penderitaan ibu muda itu berjalan kaki beratus kilometer semata-mata nak dapatkan makanan bagi meneruskan kehidupan.
“Wanita baru berusia 18 tahun itu berjalan kaki selama 10 hari dari tempat tinggalnya di Somalia hingga ke Kem Pelarian Dadaab, Kenya.
“Dia sampai dalam keadaan letih dan tak bermaya kerana sudah beberapa hari tak menjamah makanan. Paling menyedihkan suaminya meninggalkannya tanpa khabar berita. “Selepas sampai di kem, dia melahirkan bayi perempuan yang hanya dibantu pelarian lain di kem itu dalam keadaan khemah yang sangat daif,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Beliau tiba di KLIA jam 6.40 petang menaiki pesawat Egypt Air bersama dua sukarelawan lain, Yusman Nawazir, 51, dan Mohd Akhir Ahmad, 29. Misi Talian Hayat Pelarian Somalia anjuran Haluan dianggotai tiga sukarelawan itu bermula sejak 1 September lalu bertujuan membantu rakyat Somalia di kem pelarian berkenaan dari aspek perubatan dan makanan. Baharudin berkata, rakyat Somalia memang mengharapkan bantuan dari negara luar memandangkan masalah kebuluran yang sangat teruk di sana.
sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibusarathamilberjalankaki10haricarimakanan/Article/index_html