KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita asing dalam kancah pelacuran seakan-akan tiada penghujungnya walaupun banyak operasi dilakukan apabila mereka kini didapati menggunakan dua taktik baharu bagi mendapatkan wang.
Pelacur-pelacur muda berusia lingkungan 20-an dari China, Uzbekistan, Vietnam, Afrika, Mongolia dan Filipina itu kini memilih menjalankan perniagaan secara bersendirian tanpa membabitkan ejen dan akan ‘beraksi’ di kondominium atau apartmen mewah.
Difahamkan, rata-rata mereka yang memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar, mengenakan bayaran RM500 untuk sekali perkhidmatan.
Mereka yang terlibat kebanyakannya pernah dijadikan pelacur oleh ejen masing-masing ketika mula datang ke sini dengan bekerja di pusat urut dan refleksologi. Mungkin kerana bosan dicekup, mereka kemudian memilih modus operandi baharu itu.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Azman Mohd. Isa (gambar) memberitahu, siasatan mendapati, pelacur dari Afrika, Nigeria, Filipina, Vietnam dan China memilih untuk bergerak sendiri mencari pelanggan.
Katanya, pelacur yang menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar itu hanya perlu ke kelab malam untuk memancing pelanggan sebelum membawa mereka ke hotel atau rumah sewa untuk lakukan seks.
“Alasan yang sering diberi jika dicekup ialah mereka perlu mencari duit lebih untuk menampung yuran pengajian kolej. Berdasarkan tangkapan, lebih 50 peratus pelacur negara itu telah datang ke sini berulang kali.
“Ketika dinaungi sindiket, mereka terpaksa menggunakan orang tengah untuk mencari pelanggan tetapi selepas mahir dan mempunyai pelanggan tetap, mereka ‘membuka’ perniagaan sendiri. Cara itu lebih menguntungkan kerana tidak perlu bayar wang perlindungan,” dedahnya.
Azman memberitahu, pelacur dari Mongolia, Uzbekistan, China dan Vietnam pula didapati lebih cenderung menggunakan kondominium dan apartmen mewah untuk menjalankan aktiviti persundalan di sini.
Bagaimanapun katanya, mereka masih memerlukan ejen untuk mencari pelanggan. Mereka mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap perkhidmatan kerana berstatus pelacur kelas atasan.
“Polis menghadapi kesukaran untuk mengekang dan mengesan mereka kerana mereka tidak menetap di kondominium dan apartmen mewah tersebut dan kerap berpindah,” katanya.
Ujar Azman, selain itu, premis tersebut mempunyai kawalan keselamatan yang ketat serta mempunyai kamera litar tertutup.
Bagaimanapun katanya, polis ada juga melakukan serbuan dan tangkapan terhadap pelacur yang menggunakan taktik sebegitu.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pelacuran supaya menyalurkannya kepada polis berikutan bilangan pelajar dan pelancong warga asing yang terlibat meningkat saban tahun.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm