Lakaran artis mengenai konsep hutan di menara Bosco Verticale yang sedang dalam pembinaan di Milan, Itali. - Agensi
MILAN 28 Okt. - 'Menara pokok' berkembar yang diberi nama 'Bosco Verticale' yang dipenuhi pokok-pokok dan tumbuhan renek, mungkin menjadi menara pertama seumpamanya di dunia.
Menara berkembar yang sedang dalam pembinaan dengan setiap satu menara setinggi 111 meter dan 79 meter itu bakal menempatkan kira-kira 730 pokok, 5,000 tumbuhan renek serta 11,000 tumbuh-tumbuhan lain.
Pengarah Boeri Studios, Michele Brunello, 35, bertanggungjawab menguruskan projek tersebut yang telah direka sejak 2006.
"Idea untuk membina 'menara pokok' muncul ketika menyertai satu projek menanam pokok.
Menurutnya, Bosco Verticale dengan setiap satu menara setinggi 27 tingkat terletak di Milan, utara Itali itu akan turut menempatkan apartmen kediaman.
Pokok-pokok akan ditanam dalam pasu sebelum dipindahkan ke menara tersebut apabila siap sepenuhnya.
"Bosco Verticale direka untuk menempatkan pelbagai jenis tumbuhan yang boleh bertindak sebagai penapis pencemaran kepada penghuninya," katanya.
Setiap unit apartment itu dijual dalam lingkungan 560,000 pound (RM2.8 juta) untuk keluasan 80 meter persegi dan 1.7 juta pound (RM8.5 juta) bagi keluasan 200 meter persegi
"Menara tersebut bukan hanya menitik beratkan isu kehijauan dan semula jadi, malah ia turut mementingkan keselesaan dan keselamatan penghuninya.
''Kami telah melakukan pelbagai kajian serta ujian untuk memastikan semuanya berjalan lancar," ujar Brunello sambil menyatakan idea asal projek tersebut diilhamkan oleh arkitek terkenal Milan, Stefano Boeri. - AGENSI
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm