IPOH: “Alhamdulillah, Allah membuka pintu hati saya untuk berubah, sekali gus membolehkan saya memenuhi amanat arwah bapa sebelum dia meninggal dunia awal tahun ini.”
Itu kata Baby atau nama sebenarnya Ismail, 29, seorang daripada 40 mak nyah yang menyertai aktiviti pemulihan dinamakan Program Mukhayyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sebuah resort di sini, selama tiga hari, bermula kelmarin.
Ismail berkata, selepas bapanya meninggal dunia, keinginannya untuk kembali menjadi lelaki normal semakin kuat dan dia mula mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Allah.
Menurutnya, selepas mendapat tahu mengenai Program Mukhayyam, dia mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar diri sebagai peserta kerana percaya ia medan terbaik untuk kembali ke pangkal jalan.
“Saya tertarik menyertai Program Mukhayyam kerana program keagamaan ini diadakan secara santai dan tanpa diskriminasi. Insya-Allah selepas tamat program ini, hala tuju saya lebih jelas,” katanya.