TRAGEDI...Lauren tahu dirinya cedera akibat terlanggar kipas kapal terbang.
AUSTIN (Texas): Seorang model cedera parah kerana terkena kipas kapal terbang 2011 Aviat Husky selepas dia merempuh alat itu kerana teruja mahu melihat lampu Krismas.
Akibat kemalangan itu, Lauren Scruggs, 23, hampir putus tangan kirinya, selain luka di muka serta bahagian atas tubuh.
Dia kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan, tetapi doktor terpaksa memotong tangan kirinya.
Lauren - banyak menulis mengenai fesyen dalam blog dan mengedit majalah dalam talian di Texas - terkena kipas berkenaan sejurus selepas keluar dari pesawat.
Dia tiba di Lapangan Terbang Aero di McKinney untuk melihat sambutan Krismas di situ.
Menurut rakannya, sebaik saja dia keluar dari pesawat berkenaan, Lauren terus berjalan ke aras kipas.
Jurucakap keluarga mangsa berkata, satu blog dibuka khas sebagai penghormatan terhadapnya.
“Sebaik saja Lauren sedar, dia tahu bagaimana keadaannya,” katanya.
Menurut jurucakap itu, adik Lauren, Brittany, menjelaskan kepadanya bahawa dia terbabit dalam kemalangan dan cedera parah.
“Nampaknya Lauren memahami apa dikatakan Brittany,” katanya.
Walaupun mata kirinya berbalut, kata jurucakap itu, Lauren masih mampu membuka mata kanannya.
“Tolong berdoa supaya penglihatan mata kirinya selamat,” katanya.
Lauren - terbabit dalam siri televisyen Gossip Girls di bahagian pakaian - dikejarkan ke hospital di Dallas sebaik saja kejadian berlaku. Setakat ini juruterbang itu belum dikenal pasti, tetapi dipercayai rakan Lauren yang baru membeli pesawat ringan berkenaan baru-baru ini. - DM
sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Parahkenakipaspesawat/Article