BOSTON 31 Dis. - Penggodam terdiri daripada anggota kumpulan gabungan Anonymous baru-baru ini, menyiarkan beratus-ratus ribu alamat e-mel dan beribu-ibu nombor kad kredit milik pelanggan syarikat analisis perisikan swasta, Strategic Forecasting Inc.
Senarai yang disiarkan di Internet pada Khamis lalu itu termasuk membabitkan individu terkemuka seperti bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Dan Quayle, bekas Setiausaha Negara, Henry Kissinger dan bekas Pengarah Agensi Siasatan Pusat (CIA), Jim Woolsey.
Senarai itu juga termasuk maklumat sejumlah besar mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat besar AS, ketenteraan AS dan kontraktor-kontraktor pertahanan besar.
Penggodam dilaporkan menggunakan taktik pengedaran e-mel bervirus dikenali sebagai spear phishing untuk memperdayakan mangsa.
Pada minggu lalu, penggodam yang dikenali sebagai Antisec itu mendedahkan telah menggodam firma yang dikenali sebagai Stratfor dan menyatakan pendedahan data yang diperolehi mereka itu nanti akan mencetuskan huru-hara.
Antisec, bagaimanapun tidak mendedahkan bila ia akan melakukannya tetapi penganalisis politik menyatakannya ia mungkin mengandungi maklumat yang akan memalukan kerajaan AS.
Stratfor, semalam dalam satu kenyataan mengesahkan e-mel yang disiarkan itu telah dicuri daripada pangkalan data mereka dan mereka sedang membantu penguat kuasa undang-undang untuk menyiasat perkara itu. - REUTERS
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info...a&pg=lu_05.htm