Bangkai paus sepanjang 12 meter terdampar di pantai Old Hunstanton, utara Norfolk malam Krismas baru-baru ini. - AGENSI
LONDON 3 Jan. - Seorang lelaki yang cuba menjual gigi dan tulang rahang ikan paus di laman web Facebook diberi amaran akan berdepan dengan dakwaan.
Bangkai paus sepanjang 12 meter itu hanyut di pantai Old Hunstanton, utara Norfolk malam Krismas baru-baru ini.
Seorang lelaki pada Ahad lalu telah mengiklankan untuk menjual gigi ikan paus itu di dalam Facebook pada harga 5 pound (RM25) setiap batang atau 45 pound (RM222) untuk tulang rahangnya.
Lelaki dari barat Norfok itu sedang disiasat polis kerana menjual bahagian-bahagian paus yang telah mati. Penjualan bahagian-bahagian ikan paus yang telah mati tidak dibenarkan dan sesiapa yang cuba untuk memperdagangkan haiwan terancam ini akan didakwa.
Paus adalah haiwan yang dilindungi di bawah Suruhanjaya Paus Antarabangsa dan perdagangan giginya turut diharamkan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Terancam (CITES).
Jurucakap Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar berkata, sebarang penemuan paus tidak boleh diambil atau dimusnahkan tanpa kebenaran majlis tempatan dan Agensi Pengawal Pantai dan Maritim.
Paus besar itu kini menjadi tarikan pelancong sejak ia terdampar di pantai itu dan dilaporkan beribu-ribu pengunjung datang ke resort tepi pantai popular itu untuk menyaksikan bangkai haiwan itu.
Paus itu dipercayai telah mati beberapa lama sebelum ini dan ia kini sedang mereput di pantai tersebut dan dijadual akan dipindahkan dalam tempoh beberapa hari lagi. - AGENSI
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_09.htm