PUCHONG – Niat baik seorang pelajar ke sekolah mendapatkan ilmu pengetahuan bertukar detik hitam apabila dia cedera ditumbuk empat lelaki di Taman Sri Puchong di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, mangsa, Chia Poh Kang, 16, dikatakan berjalan kaki dari rumahnya di SP6C ke perhentian bas di depan pusat beli belah Tesco.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Kinrara, Dr Kow Cheong Wei berkata, ketika tiba di satu simpang perumahan, mangsa didatangi sekumpulan lelaki menaiki dua motosikal.
“Biasanya mangsa akan berjalan kaki sekitar 15 minit untuk ke perhentian bas berkenaan. Namun pagi tadi (semalam) belum sampai lima minit berjalan, dia diserbu empat lelaki berusia lingkungan 20-an.
“Salah seorang daripada lelaki itu bertanya kepadanya arah jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Jaya B. Mangsa kemudian memberitahu dia tidak tahu,” katanya yang menerima aduan daripada bapa mangsa berhubung kejadian itu, pagi semalam.
Cheong Wei yang juga Ketua Pemuda MCA Selangor berkata, tanpa banyak bicara, dua rakan lelaki itu kemudian menolak mangsa sehingga jatuh ke atas jalan.
“Mangsa ditumbuk berkali-kali sehingga mendakwa tidak mampu menjerit meminta tolong daripada penduduk di kawasan perumahan berhampiran.
“Suspek yang tidak berhati perut itu kemudian mengambil dompet duit mangsa yang berisi sejumlah wang, kad pengenalan dan telefon bimbit,” katanya dalam keadaan kesakitan mangsa kemudian berpatah balik pulang ke rumahnya sementara suspek melarikan diri.
Beliau berkata, mangsa mengalami luka dan lebam di bahagian bahu kanan akibat ditumbuk.
“Mungkin salah seorang suspek memakai cincin menyebabkan bahu mangsa berlubang dan mengalami luka yang dalam.
“Dia kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan di Balai Polis Puchong ditemani ibunya,” katanya.
Cheong Wei berkata, apa yang dikesalkan adalah, jalan perumahan itu gelap kerana lampu sudah begitu lama tidak berfungsi.
“Mungkin tiada orang nampak kejadian kerana suasana sungguh gelap. Saya akan menulis surat kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memaklumkan perkara itu.
“Dalam masa sama, saya meminta polis mempergiatkan rondaan untuk mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pelajar-disamun-ketika-ke-sekolah-1.24627