GEORGETOWN - Gara-gara tidak boleh menerima teguran, guru lelaki dari sebuah sekolah rendah di Air Itam, dipercayai bertindak mencederakan guru besar di tangan dan belakang kepala.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, ia dikatakan berpunca selepas guru besar yang melalui sebuah kelas terdengar bunyi bising sebelum menegur guru kelas berkenaan.
Difahamkan, guru kelas berkenaan enggan menerima teguran dan berlaku sedikit pertengkaran antara mereka sebelum guru besar cuba merakam suasana dalam kelas itu menggunakan telefon bimbitnya.
Ketika itu, guru kelas berang dan menggomol guru besar sambil diperhatikan murid termasuk darii kelas terbabit. Mereka hanya mampu melihat aksi kedua-dua guru berkenaan.
Suasana bertukar menjadi kecoh hingga memaksa guru lain campur tangan untuk meleraikan pergaduhan itu setelah kedua-dua tangan dan belakang kepala guru besar cedera.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, guru besar terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
"Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu. Guru terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan," katanya.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/semasa...bising-1.27915