MOHD. AMRI menunjukkan makanan halal (kiri) dan tidak halal (kanan) yang disimpan di bilik sejuk yang sama di Cheras, Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Sebuah premis pembekal makanan sejuk beku yang dipercayai untuk pasaran sekitar Cheras di sini diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam setelah pemilik kedai itu didapati mencampur produk makanan halal dan tidak halal dalam bilik sejuk beku yang sama.
Premis yang terletak di Taman Bukit Anggerik, Cheras itu dikatakan telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan menjual pelbagai produk sejuk beku seperti sosej, bebola ikan dan kek ikan tetapi pada masa yang sama turut menjual bebola dan sosej babi.
Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Hub Halal Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, berdasarkan hasil serbuan, pihaknya mendapati pemilik premis berkenaan mencampurkan semua produk makanan itu di dalam bilik sejuk yang sama.
“Hasil pemeriksaan memang didapati wujud percampuran produk halal dan tidak halal dalam bilik sejuk beku yang sama.
“Ini merupakan satu isu yang sensitif kepada umat Islam dan Jakim memandang serius tindakan pemilik premis berkenaan kerana produk makanan tersebut turut dijual kepada pengguna Islam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
sumber:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0414&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm