TOKYO - Pemilik kafe kucing yang tumbuh bagaikan cendawan di sini bimbang berhubung peraturan baharu yang melarang haiwan berkenaan dipamerkan selepas pukul 8 malam.
Peraturan itu yang akan berkuat kuasa pertengahan tahun ini, diwujudkan oleh Kementerian Alam sekitar selepas ia menerima lebih 155,000 aduan daripada orang awam.
Orang ramai mendakwa perbuatan pemilik kafe berkenaan meletakkan kucing-kucing di ruang kaca kafe mereka untuk tontonan umum menyebabkan haiwan tersebut mengalami tekanan.
Seorang pekerja wanita, Akiko Harada berkata, dia gemar berkunjung ke kafe kucing selepas waktu bekerja.
"Selepas penat bekerja, saya mahu membelai kucing-kucing dan berehat," kata Akiko.
"Saya sayangkan kucing tetapi tidak dapat membela haiwan ini kerana saya tinggal di pangsapuri. Kafe kucing memberi peluang untuk saya berseronok dengan haiwan comel ini," tambahnya.
Pengurus sebuah kafe berkenaan di sini, Shinji Yoshida berkata, premisnya memelihara 13 ekor kucing yang dibiarkan bermain dan bebas bercampur dengan pelanggan di sebuah ruang berkarpet.
"Peraturan baharu ini menyusahkan kami dan ia tiada kena mengena dengan penjagaan kesihatan kucing-kucing," kata Yoshida. - AFP
SUMBER:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm