BALING - Sebuah keluarga terkejut setelah mendapati rumah yang dihuni selama ini merupakan sarang ular berikutan penemuan 12 ekor anak tedung senduk di lubang lantai rumahnya di kawasan Jalan Bakar Sampah, di sini, kelmarin.
M Krishanabeni, 37, berkata, dia dan suaminya, Budik, 44, terkejut setelah menjumpai seekor anak ular keluar dari lubang lantai rumahnya awal pagi kelmarin.
“Pada mulanya saya hanya lihat seekor anak ular. Kemudian, suami tangkap dan buang ular itu ke dalam hutan.
“Keesokannya, terdapat seekor lagi anak ular keluar dari lubang sama. Disebabkan risau terdapat lebih dari seekor ular di dalam lubang itu saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya kepada Sinar Harian.
Sehubungan itu, lima anggota JPAM dikerahkan ke tempat kejadian dan mengambil masa satu jam untuk mengeluarkan 12 anak ular yang terdapat di dalam lubang lantai itu.
Krishanabeni berkata, sebelum ini dia perasan kucingnya sering menghidu dan mengorek sesuatu di lubang lantai itu dan tidak menyangka ia rupanya petanda bahawa terdapat sarang ular di rumahnya.
Katanya, dia dan suami serta enam anaknya terpaksa tidur di ruang tamu sejak malam kelmarin kerana bimbang dengan kehadiran ular itu.
“Hati saya tidak tenteram dan tidak mustahil terdapat ular besar di dalam rumahnya berikutan penemuan anak ular itu.
“Saya ingin berpindah, tetapi saya tidak mampu menyewa di rumah lain. Kami sekeluarga terpaksa tinggal di sini,” katanya.
Sementara itu, jurucakap JPAM cawangan Baling berkata, semua anak ular itu dipercayai berusia antara setahun berdasarkan saiz anak ular tersebut.
Kesemua anak ular itu di bawah ke Pejabat JPAM cawangan Baling sebelum dibuang ke dalam hutan.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/rumah-jadi-sarang-ular-1.42559