KUALA LUMPUR - Takut terpaksa membayar ganti rugi kerosakan lif setelah ‘kantoi’ membawa motosikal naik ke unit rumah, seorang penghuni Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak di sini, menghilangkan diri bersama keluarganya membuatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak merampas unit rumah yang disewa.
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti Sosial DBKL, Sukiman Surahman berkata, penghuni berkenaan tidak dapat menafikan yang dia sudah melakukan kesalahan membawa motosikal ke tingkat atas flat setelah lif yang dinaiki tersekat pada 27 Februari lalu.
Malah menurutnya, penghuni berkenaan juga bertindak membuka pintu lif sehingga menyebabkan kerosakan sehari selepas kejadian dia terperangkap, untuk mengambil motosikalnya tanpa kebenaran.
“Ketika terperangkap, hanya dia yang dikeluarkan dari lif dan motosikalnya kita biarkan untuk disita.
“Kemudian, setelah kerosakan dan kos pembaikan dikenal pasti, kita telah mengeluarkan notis tuntutan kepada penghuni tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, notis tuntutan ganti rugi sebanyak RM13,000 itu bagaimanapun tidak diendahkan, malah penghuni tersebut bertindak menghilangkan diri dan mengosongkan rumah.
Katanya, pihaknya juga menghantar notis saman atas kesalahan yang dibuat termasuk notis tamat perjanjian sewa.
“Penghuni tersebut jelas melanggar undang-undang kecil perumahan membuatkan tindakan rampas unit dikenakan.
“DBKL tetap akan meneruskan tindakan saman kepada penghuni berkenaan dan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak jabatan undang-undang,” katanya.
Sukiman berkata, perkara tersebut perlu dijadikan pengajaran kepada penghuni perumahan DBKL lain yang sering mengambil ringan soal undang-undang kecil perumahan ditetapkan.
SUMBER:http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/bawa-motor-naik-lif-penghuni-flat-lari-elak-bayar-ganti-rugi-1.45767