MUAR: Sindiket mencuri emas menerusi taktik mencuci barangan kemas milik mangsa menggunakan bahan kimia dibongkar dengan penahanan 21 ahli kumpulan itu dalam serbuan di sebuah hotel di bandar ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata kegiatan kumpulan itu, termasuk 14 warga China dilumpuhkan, Jumaat lalu membabitkan tangkapan suspek berusia 20 tahun hingga 40 tahun, yang bergerak dari rumah ke rumah sekitar kampung sambil cuba menjual barangan kemas palsu.
“Ahli sindiket ini akan bergerak menaiki kereta dipandu warga tempatan yang menjadi jurubahasa kepada mereka.
“Biasanya, mereka cuba menjual barang kemas tiruan terlebih dulu dan jika suri rumah enggan membeli, mereka mengubah tawaran kepada khidmat mencuci emas dengan upah RM3 saja untuk setiap barang.
“Ketika itulah sindiket berkenaan mengambil kesempatan mencuri emas menggunakan pelarut kimia khas yang mampu menghilangkan sehingga 20 peratus daripada berat asal barangan kemas dicuci mereka,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Mohamad Nasir berkata, siasatan awal polis mendapati 14 warga asing dari Fujian, China itu memasuki negara ini pada 16 Mei lalu menggunakan pas lawatan sosial.
“Sindiket ini dipercayai membabitkan kumpulan besar serta bergiat aktif di beberapa negeri, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan baru berada selama tiga hari di daerah Muar dan Batu Pahat.
“Kami percaya, saki baki kumpulan itu masih ada di beberapa negeri lagi kerana mereka sudah berpecah dalam beberapa kumpulan,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, 14 warga China itu direman sehingga 8 Jun mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963, manakala tujuh rakyat tempatan pula ditahan reman sehingga hari ini mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Nasir menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran mencuci barangan kemas ditawarkan pihak tidak dikenali.
Katanya, perbezaan berat barangan kemas yang sudah dicuci sukar dibezakan dengan mata kasar, melainkan ditimbang terlebih dulu menggunakan penimbang khas.
“Setakat ini, kami masih belum menerima laporan berkaitan kes itu kerana mungkin orang ramai tidak sedar kehilangan berat barangan kemas selepas dicuci sindiket berkenaan.
“Jadi, polis meminta orang ramai yang pernah menggunakan khidmat mencuci emas di rumah itu segera tampil di balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.
sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/ar...ngkar/Article/