PETALING JAYA – Teksi ‘cekik darah’ yang beroperasi sekitar bandaraya ini kecut perut malah ada yang cuba melarikan diri selepas menyedari penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) melakukan operasi besar-besaran di pusat membeli-belah Sunway Pyramid, kelmarin.
Operasi tiga jam bermula jam 8 malam itu berjaya menahan 10 pemandu teksi, enam tidak menggunakan meter manakala selebihnya tidak mempunyai lesen dan permit memandu.
Ketua Bahagian Penguatkuasan Spad, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi kali ini memberi tumpuan kepada enam lokasi panas antaranya kawasan komuter Batu Tiga, Mentari Court, IOI Mall Puchong, LRT Kelana Jaya, Summit USJ dan komuter Subang.
“Spad menerima banyak aduan dari pengguna mengenai segelintir pemandu teksi tidak menggunakan meter di enam lokasi dan hari ini kita telah melakukan penyamaran untuk mengesan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Hasil penyamaran didapati pemandu teksi yang mengenakan caj melampau sehingga dua kali ganda daripada meter asal meskipun jarak yang ditujui tidak sampai satu kilometer.
Hasni berkata, pemandu teksi dikenakan tindakan harus sedar dan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan untuk menjalankan operasi teksi.
“Kita juga mengalukan-alukan maklumat daripada orang ramai supaya melaporkan kepada Spad jika terdapat teksi tidak menggunakan meter dengan mencatatkan nombor pendaftarannya.
Difahamkan sepanjang tahun ini seramai 150 pemandu ditahan dan dikenakan tindakan kerana tidak menggunakan meter.
Tindakan diambil dibawah Seksyen 22 Pengangkutan Awam Darat 2010 yang boleh didenda hingga
RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/teksi-cekik-darah-masuk-perangkap-1.64545