BANTING - Jualan murah yang sedang dipromosikan di daerah ini sempena Ramadan didakwa mengelirukan pengguna malah membebankan rakyat.
Pengguna menyuarakan kekesalan apabila melihat poster yang dipamerkan tidak sama dengan harga jualan yang sebenar.
Seorang pengguna Mohd Yusof Ali berkata, dia meminta pihak yang bertanggungjawab memantau harga barang yang dipamerkan supaya tidak bercanggah dengan promosi yang dilakukan.
Menurutnya, tidak salah mengadakan promosi menjelang perayaan tetapi peniaga perlu bersikap jujur supaya pengguna tidak tertipu.
“Saya sendiri pernah mengalami situasi apabila melihat promosi harga diturunkan secara mendadak tetapi apabila berurusan dengan peniaga harga sudah menjadi lain.
“Selain itu, harga yang dipamerkan juga berlainan dan mengelirukan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang ibu tunggal, Rashiah Rasmin, 56, berkata, beliau kesal apabila melihat peniaga mengambil kesempatan meletakkan harga yang tidak tepat.
“Walaupun masih awal, tetapi peniaga seolah-olah berebut mempamerkan harga murah yang mengelirukan untuk menarik pengguna.
“Pihak yang bertanggungjawab perlu memantau harga barang yang dipamerkan supaya rakyat tidak berhadapan dengan masalah ditipu kerana setiap dari kita mempunyai hak sebagai pengguna,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/jualan-murah-mengelirukan-1.73878