GEORGETOWN - Tidak dinafikan ada dalam kalangan ‘orang tengah’ yang bertindak menyimpan stok ikan tatkala bekalan ikan sedang berkurangan.
Penjual ikan di Pasar Taman Tun Sardon, Mutalib Abdul Wahab berkata, stok ikan berkenaan akan dibekukan terlebih dahulu dalam simpanan mereka ketika bekalan masih banyak.
“Setelah ikan kurang di pasaran, orang tengah yang menjadi pengantara antara nelayan dan juga penjual ikan tadi akan kembali mengeluarkan stok ikan yang dibekukan oleh mereka.
“Namun harga yang dikenakan kepada penjual akan lebih mahal, sebagai contohnya ikan gurut-gurut, harga biasa hanya dalam RM10 seekor, namun ketika bekalan ikan kurang ia akan naik sehingga RM15 ataupun RM18.
“Sedangkan ia bukanlah ikan segar, sebaliknya hanyalah ikan yang telah disejuk beku,” katanya.
Kekurangan bekalan ikan segar di pasaran tempatan negeri ini juga gara-gara kebanyakan peniaga tempatan menjualnya kepada pasaran negara luar seperti Singapura.
Ia kerana, harga di sana lebih tinggi berbanding dengan harga tempatan, namun yang terkena tempias ialah penjual dan juga pembeli tempatan.
Mutalib yang lebih 10 tahun menjalankan perniagaan ikan di negeri ini juga mengakui terpaksa mengambil bekalan ikan daripada pelbagai tempat, kerana stok ikan berkurangan.
Ada di antaranya daripada Kuala Perlis, Pantai Remis dan juga sekitar kawasan negeri ini.
Walaupun bekalan ikan yang agak mahal semakin merosot, namun ikan yang masih murah antaranya termenung, selar dan juga cencaru masih boleh didapati di pasaran.
Pembeli, Ramli Baharun, 58 berkata, sepanjang Ramadan harga ikan semakin naik.
Namun mahu tidak mahu, dia terpaksa juga membelinya kerana keperluan keluarga untuk berbuka puasa.
“Kalau dulu mungkin ada ikan yang saya beli dalam lingkungan RM10 atau RM8 sahaja, tetapi sekarang sudah naik menjadi sehingga RM15 ataupun RM20, begitu juga dengan harga sotong ataupun udang, memang terasa kenaikannya,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/orang-tengah-simpan-stok-1.74497