KUANTAN - Alasan tidak menyedari cukai jalan telah tamat tempoh antara situasi yang dihadapi oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi sempena Aidilfitri 2012 di Jalan Tun Ismail di sini, malam semalam.
Ketika ditahan, pemuda berusia 30 tahun dari Pelindung Perdana itu juga memberikan jaminan untuk memperbaharuinya keesokan hari namun alasan itu tidak dilayan berikutan cukai jalannya telah tamat lebih sebulan lalu menyebabkan kenderaan miliknya disita.
Selain itu, daripada 33 contoh air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) seorang pemuda berusia 22 tahun telah dikesan positif selepas menjalani ujian air kencing.
Operasi kali kedua di lokasi tersebut bermula jam 8.30 hingga 11 malam itu melibatkan 15 anggota JPJ, 11 (AADK) dan tiga (SPRM).
Pengarah JPJ Negeri, Datuk Zakaria Man berkata, sebanyak 39 kes dikesan untuk operasi kali ini membabitkan 23 pemandu tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan (13) dan tiga lagi tidak melekatkan plat P (percubaan) pada kenderaan masing-masing.
Menurutnya, sepanjang operasi bersepadu itu, sebanyak 877 kes dikesan dengan jumlah tertinggi 168 membabitkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan 99 lagi tidak mempunyai cukai jalan dan tamat tempoh.
“Manakala 33 kes lagi pula ialah kesalahan memotong garisan berkembar (double-line) dan tidak mematuhi lampu isyarat (43) dan lain-lain kes teknikal.
“Mereka (pesalah) dikenakan kompaun dari serendah RM70 hingga maksimum, RM300,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/alasan-tidak-diterima-kereta-disita-jpj-1.78822