JITRA - Seorang siak yang mahu menunaikan solat Subuh terkejut apabila melihat al-Quran berselerak atas lantai di Masjid Sharifah Fatimah Kemunting, di sini, semalam.
Ahmad Othman, 68, berkata, kira-kira jam 5.30 pagi, dia yang merupakan orang pertama sampai ke masjid terbabit mendapati pintu utamanya terbuka dan mengesyaki berlaku kes kecurian kerana tabung masjid turut hilang.
Menurutnya, setelah menyedari keadaan di dalam masjid, dia segera memaklumkan kepada Imam dan ahli jawatankuasa masjid untuk membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Setibanya saya di perkarangan masjid, saya pelik kerana pintunya terbuka luas dan segera memberanikan diri untuk ke dalam masjid bagi mengenal pasti keadaan sebenar.
“Selangkah menjengah masuk ke dalam masjid, saya melihat al-Quran yang disusun rapi pada mulanya bertaburan atas lantai dan tabung besi seberat lima kilogram turut hilang,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kebiasaannya dia akan memastikan seluruh masjid sentiasa terkunci sebelum ditinggalkan dan hanya membiarkan pintu utama tidak berkunci untuk memudahkan orang ramai sekiranya ingin melakukan solat di sini.
“Tongkat imam juga patah yang kemungkinan digunakan pencuri untuk mengopek tabung yang dilekatkan di tiang masjid.
“Jika tabung yang mereka inginkan tidak mengapa tetapi untuk apa al-Quran ditaburkan di lantai,” katanya.
Sementara itu, sumber polis berkata, kejadian dipercayai mempunyai unsur khianat dan mengesyaki perbuatan terbabit dilakukan penagih dadah.
“Tiada sebarang bukti ditemui dengan siasatan menerusi pengecaman cap jari dan kemungkinan mereka yang terlibat memakai sarung tangan supaya tindakan mereka tidak dapat dikesan oleh pihak polis,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/kes-kecurian-al-quran-bertaburan-di-lantai-1.80086